Reformasi Politik C00. REFORMASI POLITIK

C07. Menjamin ketelusan dan kemodenan sistem pilihan raya

PAKATAN HARAPAN MS59 May 10, 2018
Belum Bermula
May 2018

Menjamin ketelusan dan kemodenan sistem pilihan raya

Pakatan Harapan May 10, 2018

Sistem pilihan raya yang telus dan adil perlu wujud untuk memastikan rakyat mempunyai keyakinan terhadap sistem demokrasi di Malaysia. Pakatan Harapan sedia maklum akan pelbagai kebimbangan yang telah disuarakan tentang perjalanan pilihan raya di Malaysia selama ini. Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil tindakan tegas untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada perjalanan pilihan raya negara kita. Kerajaan Pakatan Harapan akan membebaskan sepenuhnya Suruhanjaya Pilihanraya daripada campurtangan Perdana Menteri dan ahli-ahli politik lain dengan meletakkan Suruhanjaya Pilihanraya sepenuhnya di bawah pemantauan Parlimen. Satu kuota akan diwujudkan untuk memastikan masyarakat sivil mempunyai wakil sebagai Ahli Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. Pelantikan Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia mestilah melalui proses perakuan oleh Parlimen.

Suatu jawatankuasa khas akan dibentuk di bawah pemantauan Timbalan Perdana Menteri untuk bekerjasama dengan masyarakat sivil dalam mewujudkan dan menerbitkan Garispanduan Kerajaan Sementara (Caretaker Government). Matlamat khusus inisiatif ini ialah untuk menghalang salahguna aset kerajaan untuk kempen kepartian bermula daripada PRU15 nanti. Tuntutan yang pernah disuarakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH), serta laporan pemantauan PRU13 yang diterbitkan oleh Institute for Democracy & Economic Affairs (IDEAS) akan dijadikan landasan dalam mereformasi sistem pilihan raya Malaysia. Ini termasuklah tuntutan untuk membersihkan daftar pemilih, memperbaiki sistem pengundian pos, menetapkan minimum 21 hari untuk tempoh berkempen, memberikan akses yang adil kepada media untuk semua parti yang bertanding, dan memberi akreditasi dan latihan awal kepada pemerhati pilihan raya bebas.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun, dan melaksanakan pendaftaran automatik berdasarkan daftar Jabatan Pendaftaran Negara. Untuk mewujudkan persaingan yang sihat, Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi ruang kepada semua parti berdaftar yang akan bertanding dalam pilihan raya umum untuk bersiaran dalam saluran TV dan radio kendalian RTM, serta memastikan liputan pilihan raya oleh RTM adalah adil dan saksama. Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan nisbah yang adil dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya, dan mengumumkan secara telus kepada khalayak umum, formula yang digunakan dalam menentukan bilangan pengundi dan saiz kawasan setiap kawasan pilihan raya.