Reformasi Politik C09. MENGEMBALIKAN KEYAKINAN KEPADA SISTEM KEHAKIMAN

C09-04: Pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan melalui jalan belakang seperti yang diamalkan oleh UMNO dan Barisan Nasional, akan dihentikan serta merta

PAKATAN HARAPAN MS65 May 10, 2018
Sedang Dijalani
Jun 2018

Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan letak jawatan

Berita Harian June 13, 2018

Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, meletakkan jawatan berkuat kuasa 31 Julai depan. Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, berkata peletakan jawatan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Jumaat lalu, dan dimaklumkan melalui surat Setiausaha Sulit, Bahagian Urusan Diraja, Istana Negara kelmarin. "Pada 15 Mei lalu, Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan bertemu Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan sudah menyampaikan hasrat Yang Amat Arif untuk meletakkan jawatan. "Bagaimanapun, Yang Amat Arif (Md Raus dan Zulkefli) memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada tarikh yang munasabah untuk membolehkan segala urusan kehakiman diselesaikan. "Selaras pertimbangan sedemikian, Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan mengutus surat peletakan jawatan masing-masing kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun dan peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa 31 Julai 2018," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Isu membabitkan dua hakim kanan itu menjadi polemik selepas Pejabat Perdana Menteri (kerajaan terdahulu) menerusi kenyataan pada 7 Julai tahun lalu, mengumumkan pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 4 Ogos tahun sama mengikut Fasal 1(A) Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan. Seiring pengumuman itu, Md Raus dilantik menyandang jawatan Ketua Hakim Negara bermula tarikh berkenaan untuk tempoh sama. Melalui pengumuman sama, Zulkefli dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk tempoh dua tahun bermula 28 September tahun lalu mengikut Fasal 1(A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan. Susulan itu, beberapa pihak termasuk ahli politik, peguam dan Majlis Peguam, membuat bantahan atas alasan pelanjutan tempoh terbabit bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan seseorang hakim wajib bersara selepas berusia 66 tahun enam bulan. Ketika itu, Pakatan Harapan (PH) turut menyerahkan petisyen berhubung pelantikan Md Raus kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara supaya membuat rujukan permasalahan Perlembagaan untuk ditentukan Mahkamah Persekutuan. Peguam, Ramkarpal Singh dilaporkan mendesak Md Raus dan Zulkefli menolak pelanjutan khidmat itu kerana ia boleh dicabar di mahkamah serta 'boleh memalukan badan kehakiman'. Presiden Majlis Peguam, George Varughese, pula berkata badan itu mengambil pendirian bahawa pelantikan Md Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan serta terus memegang jawatan itu melebihi had umur 66 tahun dan enam bulan, sebagai tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah. Pada 19 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Md Raus sebagai Ketua Hakim Negara dan hakim tambahan Mahkamah Persekutuan. Beliau memfailkan permohonan pada 1 November tahun lalu bagi menuntut perisytiharan bahawa pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan pada 4 Ogos 2017 mengikut Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah, tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan.