Pembinaan Negara E01. Menjadikan sekolah-sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan terbaik untuk rakyat

E01-01: Kuota kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan memberi kelebihan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, terutama mereka daripada luar bandar dan FELDA

PAKATAN HARAPAN MS130 May 10, 2018

Please note these historical updates display when articles associated to this promise were added, removed, or changed. The promise status matches the status of its most recent article, as determined by the article date.

Dipenuhi
Dec 2018

70 peratus pelajar baharu MRSM daripada B40

Berita Harian December 27, 2018

KUALA LUMPUR: Hampir 70 peratus pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) berjaya ditempatkan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi sesi persekolahan 2019. Ia membabitkan kira-kira 5,400 daripada 7,760 pelajar baharu Tingkatan 1 bagi sesi persekolahan tahun depan di 54 MRSM seluruh negara. Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata jumlah itu melebihi sasaran minimum yang ditetapkan sebelum ini, iaitu sekurang-kurangnya 65 peratus pelajar MRSM adalah pelajar golongan B40. “Untuk keputusan (kemasukan) ke MRSM bagi tahun 2019, sebanyak 70 peratus pelajar adalah daripada golongan B40, 20 peratus daripada M40 (keluarga berpendapatan 40 peratus pertengahan) dan baki 10 peratus daripada T20 (keluarga berpendapatan 20 peratus tertinggi). “Kita sudah keluarkan keputusan kemasukan ke MRSM ini pada 21 Disember lalu, lebih awal daripada kebiasaan kerana ini membantu ibu bapa membuat persiapan untuk sesi persekolahan baharu,” katanya pada sidang media Program Segak Ke Sekolah - Jom Gunting Rambut Percuma di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek di sini, hari ini. Sebelum ini, Rina dilaporkan berkata, kerajaan menetapkan kuota 65 peratus kemasukan baharu ke MRSM bagi sesi 2019, mesti diisi pelajar daripada golongan B40. Kuota maksimum pengambilan pelajar baharu untuk 54 MRSM seluruh negara bagi tahun depan adalah 7,760 bagi kemasukan Tingkatan 1, manakala 2,245 tempat lagi untuk Tingkatan 4. Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, berkata pengambilan pelajar kali ini adalah berdasarkan kecemerlangan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), yang kemudiannya dipadankan dengan pendapatan keluarga. Bagaimanapun, katanya, kelonggaran dalam aspek keputusan UPSR diberikan kepada pelajar luar bandar, khususnya di Sarawak dan Sabah, dengan harapan mereka mendapat tempat serta sistem pembelajaran yang kondusif, sekali gus memperoleh keputusan lebih cemerlang pada masa depan. Ditanya mengenai nasib pelajar cemerlang daripada golongan M40 yang hidup di bandar namun tidak mendapat tempat di MRSM, Rina berkata mereka boleh membuat rayuan. “Kementerian sudah bergerak ke depan dengan jumlah kemasukan pelajar B40 kali ini kerana sebelum ini, MRSM dikatakan untuk anak golongan elit. “Namun, dari masa ke masa, kita akan lihat keadaan pelajar golongan M40 khususnya ibu bapa yang memiliki ramai anak, mereka boleh buat rayuan dan ada beberapa penilaian yang akan kita buat,” katanya. Mengenai rancangan menambah jumlah MRSM sedia ada, Rina berkata sebanyak 10 MRSM baharu kini sedang dibina serta dalam perancangan untuk dibina pada masa depan. Terdahulu, Rina berkata Program Segak Ke Sekolah - Jom Gunting Rambut Percuma dijalankan secara serentak di empat PPR iaitu PPR Jelatek, PPR Hiliran Ampang, PPR Laksamana dan PPR Cochrane Perkasa sepanjang hari ini. Katanya, program gunting rambut percuma dikendalikan pelatih GiatMARA dan memberi manfaat kepada kira-kira 600 pelajar di kawasan Parlimen Titiwangsa, adalah lanjutan daripada program bantuan persekolahan kepada 2,000 pelajar yang di dilaksanakan sebelum ini.