Pembinaan Negara E03. Membela nasib golongan OKU

E03-03: Menaikkan peruntukan pendidikan khas di sekolah-sekolah kerajaan, terutamanya untuk melatih guru, membeli kelengkapan kelas, dan menambah bilangan tempat yang boleh disediakan

PAKATAN HARAPAN MS137 May 10, 2018
Sedang Dijalani
Jul 2018

Pendidikan Vokasional untuk murid berkeperluan khas

Sinar Harian July 25, 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan mewujudkan sekolah pendidikan khas vokasional, yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK), sebagai usaha memastikan golongan itu turut menikmati akses pendidikan di tahap lebih tinggi. Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kementerian komited memberi akses pendidikan kepada MBK supaya mereka boleh berdikari seterusnya menjalani kehidupan yang lebih berkualiti. Katanya sekolah menengah pendidikan khas vokasional itu kini terdapat di Inderaputra, Johor; Shah Alam, Selangor; Kuantan, Pahang dan Merbok, Kedah. “Semua guru yang mengajar di sekolah pendidikan khas vokasional ini telah ataupun sedang diberi latihan SKM Tahap 3 bagi membolehkan mereka mengajar sebagai guru bertauliah dalam bidang kemahiran," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini. Beliau menjawab soalan tambahan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai sejauh mana kerajaan memberi perhatian dan galakan kepada golongan berkeperluan khas dalam bidang teknik dan vokasional serta sistem prasarana yang berkesan untuk membolehkan mereka menjalani latihan vokasional. Selain itu, kementerian memberi pendidikan kemahiran di sekolah menengah pendidikan khas dan sekolah-sekolah harian yang menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) kepada golongan itu. "Buat masa ini, kita ada dua buah sekolah menengah pendidikan khas yang juga memberi program kemahiran iaitu di Setapak, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Kita juga komited untuk mendirikan sebuah lagi sekolah menengah pendidikan khas di Pulau Pinang, jadi kita harap melalui sekolah tambahan ini kita boleh menawarkan 250 lagi tempat untuk MBK. "Kita juga ada program transisi ke kerjaya untuk MBK supaya mereka mendapat pekerjaan selepas tamat sekolah," katanya. Menjawab soalan sama, Teo berkata Kementerian Pendidikan sedang membuat kajian untuk menambah baik prasarana mesra OKU kepada semua sekolah pendidikan khas yang akan dilaksanakan secara berperingkat. - Bernama