100 Hari

A04 & D07. KWSP Untuk Suri Rumah

Pakatan Harapan May 10, 2018
Sedang Dijalani
Aug 2018

KWSP: Caruman suri rumah mulai minggu depan

Berita Harian August 08, 2018

Seramai 359,065 wanita yang berdaftar dengan sistem e-Kasih bakal menerima insentif menerusi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah bermula minggu depan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi menjayakan fasa pertama skim dikenali Program Sukarela Insentif SURI (SURI) itu. Katanya, SURI yang dilaksanakan dalam tiga fasa menyasarkan suri rumah kepada Ketua Isi Rumah (KIR), ibu tunggal, balu dan wanita bujang yang berdaftar dengan sistem e-Kasih. “Fasa pertama bermula 15 Ogos ini dengan kerajaan akan menyumbang sebanyak RM40 sebulan bagi setiap caruman sukarela dengan jumlah minimum RM5 ke akaun KWSP. “Bagi fasa kedua, sumbangan kerajaan akan meningkat kepada RM50 dengan RM10 daripadanya akan disumbangkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Fasa ini dijangka bermula tahun depan. “Fasa ketiga insentif SURI adalah di mana dua peratus sumbangan KWSP suami akan dimasukkan ke akaun isteri dengan pelancaran fasa ini dijangka pada awal 2020, namun beberapa pindaan perlu dilakukan terhadap akta berkaitan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Keselamatan Sosial 2018 (ISSC2018) di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman; Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dan Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sumbangan minimum RM5 oleh pencarum adalah wajib sebagai komitmen memupuk budaya menyimpan. “Kerajaan sentiasa komited mengiktiraf dan menjaga kebajikan wanita terutama mereka yang amat memerlukan perhatian dan diharap inisiatif ini berupaya menambahbaik kedudukan kewangan wanita di negara ini,” katanya. Sementara itu, Shahril Ridza berkata, KWSP dan PERKESO akan menjalankan kajian menyeluruh untuk melancarkan lagi pelaksanaan SURI menerusi kerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan bank tempatan. “Buat masa ini, mereka yang mendaftar dengan e-Kasih secara automatik layak menerima insentif ini, namun mereka perlu membuka akaun KWSP terlebih dahulu dengan hanya mencarum minimum RM5. “Kita faham mungkin terdapat kekangan untuk membuka akaun KWSP, sebab itu kita akan mengkaji cara terbaik untuk memudahkan mereka,” katanya.

Jun 2018

Belum muktamad potongan KWSP kepada suri rumah

Sinar Harian June 07, 2018

KUALA LUMPUR - Kerajaan belum mencapai kata putus berhubung caruman tambahan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan dipotong dari gaji suami kepada suri rumah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, ada beberapa perkara teknikal perlu diteliti termasuk peraturan KWSP sebelum keputusan boleh dibuat. “Kita telah berjumpa dengan mereka (Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan) dan saya berasa gembira selepas pertemuan itu. Cuma ada masalah sedikit. Kerana mengikut Seksyen 51 Peraturan KWSP, tidak boleh disentuh caruman yang diberikan suami (11 peratus). “Ketika ini, apa yang ada adalah Skim Persaraan 1Malaysia yang mana suami boleh secara sukarela memberi 'hadiah' sebanyak RM250 setahun. Jadi kita perlu cari skim yang sesuai dan cara pelaksanaan terbaik untuk laksanakan caruman tambahan. Saya sudah bercakap kepada Menteri Kewangan, 'kita kena teliti Peraturan KWSP) dulu," katanya selepas lawatan rasmi di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini, hari ini. Kerajaan dan KWSP, sebelum ini dilaporkan sedang membincangkan mekanisme pelaksanaan pemotongan caruman selain keperluan potongan caruman kepada suami mempunyai isteri lebih dari satu atau suami berstatus ‘househusband’. Mekanisme ini penting kerana ia bergantung kepada siapa yang layak serta kaedah untuk mencarum. Sebanyak dua peratus daripada pendapatan suami akan dipotong untuk caruman dan bagi yang layak, kerajaan akan memberikan insentif tambahan, RM50. Pemotongan caruman tambahan itu kepada golongan suri rumah antara janji Pakatan Harapan (Harapan) pada PRU14 lalu.

Jun 2018

Ditangguh: skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah

Utusan Online June 01, 2018

PUTRAJAYA 31 Mei - Kebimbangan rakyat me­ngenai Janji 100 Hari Pakatan Harapan (PH) tidak mampu direalisasikan semakin menjadi kenyataan apabila beberapa inisiatif yang dijanjikan ber­kemungkinan terpaksa dita­ngguhkan berikutan kekangan kewangan. Meskipun 10 inisiatif berkenaan dijanjikan untuk tempoh 100 hari, namun pihak kerajaan memberi bayangan bahawa kemampuan kewangan negara yang terhimpit kerana hutang setinggi RM1 trilion perlu diberi perhatian. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara beberapa inisiatif dalam Janji 100 Hari mereka sehingga keadaan kewangan negara bertambah baik. Kata beliau, antara inisiatif yang akan ditangguhkan ialah skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah.

May 2018

Janji caruman suri rumah - TPM akan bertemu CEO KWSP

Utusan Online May 24, 2018

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau akan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) minggu hadapan berhubung mekanisme pelaksanaan caruman KWSP kepada surirumah.

“Kita perlu menentukan mekanisme seperti siapa yang layak dan bagaimana diberikan sebab caruman dua peratus adalah daripada gaji suami dan kita ada pengiraan kalau (suami ada) isteri satu, dua atau tiga, kalaulah yang Islam itu. “Mekanisme akan dikaji mendalam kerana ini juga membabitkan dana kerajaan (caruman) RM50 kepada sesiapa yang layak menerima,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

May 2018

Melaksanakan KWSP untuk suri rumah

Pakatan Harapan May 10, 2018

Kerajaan Pakatan Harapan memahami keperluan golongan suri rumah. Kami akan menjamin kebajikan kaum ibu supaya kehidupan mereka terjaga.

Sebagai langkah pertama, Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan skim KWSP untuk suri rumah. Caruman akan disumbangkan daripada caruman KWSP para suami yang bekerja pada kadar 2% sebulan yang tidak membebankan. Sebagai tanda penghargaan kepada suri rumah, Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi sumbangan caruman sebanyah RM50 sebulan kepada KWSP para suri rumah.

Bagi para suri rumah, pengeluaran boleh dibuat secara berperingkat mengikut umur untuk memastikan mereka mempunyai simpanan jangka panjang. Selain daripada memastikan kebajikan ibu-ibu terjaga, langkah ini juga akan memastikan talian kekeluargaan adalah berterusan dan kebajikan ibu dijaga oleh keluarga terdekat sehingga akhir hayat.