100 Hari

A05. Menyamaratakan Gaji Minimum

Pakatan Harapan May 10, 2018

Please note these historical updates display when articles associated to this promise were added, removed, or changed. The promise status matches the status of its most recent article, as determined by the article date.

Sedang Dijalani
Jan 2019

Gaji minimum: Majikan perlu patuh - Jabatan tenaga kerja

MalaysiaKini January 02, 2019

Semua majikan di negeri ini digesa mengambil berat dan mematuhi Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 yang dikuatkuasakan mulai semalam. Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sarawak Awang Raduan Awang Omar ketika membuat gesaan itu berkata perintah baru ini menetapkan sebanyak RM1,100 sebulan bagi pekerja yang dibayar kadar gaji bulanan dan RM5.29 sejam bagi pekerja yang dibayar gaji ikut jam. Selain itu, katanya, bagi pekerja yang dibayar kadar gaji harian, kadar gaji minimum adalah ditetapkan berdasarkan bilangan hari bekerja dalam seminggu. “Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2019 di seluruh Malaysia dan perintah tersebut memperuntukkan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini. Beliau berkata, sebelum ini Perintah Gaji Minimum 2016 memperuntukkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan. Gaji minimum pekerja asing Awang Raduan berkata berdasarkan rekod, Jabatan Tenaga Kerja Sarawak telah membuka sebanyak 76 kertas siasatan sejak tahun 2015 bagi menyiasat majikan yang gagal membayar gaji minimum. Beliau berkata daripada 76 kertas siasatan tersebut, 25 kes telah dihadapkan ke mahkamah dan 20 daripada kes tersebut telah disabitkan kesalahan. Selain itu, beliau berkata sebanyak 30 kes telah ditutup kerana kes telah diselesaikan, manakala baki 21 kes yang lain masih dalam tindakan penyiasatan. Katanya, jumlah keseluruhan denda yang dikenakan terhadap majikan yang tidak mematuhi gaji minimum adalah sebanyak RM135,591. Awang Raduan berkata, Perintah Gaji Mimimum itu turut turut dinikmati oleh pekerja asing yang bilangannya adalah 139,000 orang yang diberi lesen bekerja di negeri ini oleh Jabatan Tenaga Kerja Sarawak. Katanya, kebanyakan pekerja asing berkenaan yang kebanyakannya dari Indonesia seramai 129,733 orang, China (4,770), Myanmar (1,620), India (1,055) dan Filipina (849) bekerja di sektor peladangan. - Bernama

Jul 2018

New minimum wage in two months: Kulasegaran

Sun Daily July 24, 2018

Jun 2018

Gaji minimum sektor swasta diumum Ogos

Astro Awani June 04, 2018

Kerajaan akan mengumumkan kadar gaji minimum baharu sektor swasta selewat-lewatnya Ogos ini selepas selesai proses semakan dan mendapat kelulusan Kabinet. Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) akan mengadakan mesyuarat pada 13 Jun ini bagi meneliti hasil Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2016. Beliau berkata Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara (JTPGN) telah selesai menjalankan kajian itu sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732). Katanya mesyuarat MPGN itu juga akan mempertimbangkan syor kadar gaji minimum dan perkara lain yang berkaitan bagi menepati janji manifesto Pakatan Harapan.

"Selepas mesyuarat, kementerian akan menyediakan Memorandum Jemaah Menteri bagi suatu keputusan dibuat kerajaan," katanya dalam sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Sumber Manusia, di sini hari ini. Kulasegaran berkata pihaknya juga telah membincangkan 10 janji yang perlu dipenuhi dalam tempoh 100 hari kerajaan Pakatan Harapan termasuk menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara. "Saya dimaklumkan JTPGN bersedia membentangkan syor kadar gaji minimum baharu kepada MPGN iaitu badan tripartite (tiga pihak) yang berperanan untuk membincangkan dan membawa syor itu kepada jemaah menteri," katanya. Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan sedia mempertimbang cadangan memberi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 1.2 juta golongan suri rumah di negara bagi menghargai sumbangan mereka kepada keluarga masing-masing. Bagaimanapun katanya mekanisme pelaksanaannya akan diteliti sama ada bersesuaian atau tidak di negara ini. "Ramai suri rumah adalah di bawah kumpulan B40 dan tidak mempunyai jaringan keselamatan sosial. Bank Dunia menyifatkan sumbangan wanita bekerja dan tidak bekerja adalah sama penting kepada pembangunan negara," katanya. Terdahulu, Kulasegaran dalam ucapannya menekankan Kementerian Sumber Manusia perlu sifar rasuah serta mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang dan mengarahkan pasukan penguatkuasaan kementerian untuk selalu mengadakan pemeriksaan di premis pekerjaan. Dalam pada itu, beliau turut memberi tumpuan untuk menyelesaikan kes tertunggak di Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Mahkamah Perusahaan. "Kita juga akan menambah baik liputan keselamatan sosial kepada suri rumah dan pasangan, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing serta meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat mengenai hak mereka sebagai pekerja di bawah undang-undang buruh," katanya.

May 2018

Meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak

Pakatan Harapan May 10, 2018

Untuk menghentikan diskriminasi terhadap Sabah dan Sarawak, Kerajaan Pakatan Harapan akan menaikkan kadar gaji minimum di Sabah dan Sarawak agar setara dengan Semenanjung. Kadar gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan di seluruh negara dalam penggal pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan, dan kami akan menyemak kadar ini setiap 2 tahun. Untuk mengurangkan bebanan kepada majikan, Kerajaan Pakatan Harapan akan berkongsi 50 peratus daripada kos ini dengan majikan. Ini bermaksud apabila gaji minimum dinaikkan daripada RM1,000 ke RM1,500, Kerajaan Pakatan Harapan akan membiayai RM250, manakala majikan pula membiayai RM250 lagi. Lambakan pekerja asing adalah salah satu faktor yang menyebabkan gaji pekerja Malaysia tidak meningkat dengan sewajarnya. Kerajaan Pakatan Harapan akan mengurangkan bilangan pekerja asing daripada 6 juta kepada 4 juta orang dalam penggal pertama pentadbiran kami.

Pakej galakan dan insentif kepada para pengusaha kecil dan sederhana akan dipelbagaikan, terutamanya untuk mereka yang tinggal di kampung-kampung dan di kawasan-kawasan FELDA seluruh negara. Kerajaan Pakatan Harapan akan membantu Majlis dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri agar mereka boleh menyalurkan bantuan zakat dan sedekah kepada golongan kurang berkeupayaan dengan lebih efektif dan pantas. Maklumat tentang pendapatan isi rumah dan keperluan rakyat termiskin akan dikongsi secara pintar dengan peringkat negeri, tanpa mengubah kuasa negeri dalam pentadbiran agama masing-masing. Sebuah agensi khas akan diwujudkan untuk mengambil alih pengurusan BR1M dan memperkenalkan skim bantuan tunai (cash transfer scheme) yang tersusun dan bebas daripada pengaruh politik kepartian. Agensi ini akan mengambil tindakan segera untuk mengkaji mekanisme bantuan sosial (welfare benefits) di negara-negara maju dan seterusnya merangka skim yang sesuai dengan kemampuan Malaysia, serta menggalakkan sektor swasta dan badan-badan kebajikan untuk menyumbang. Kerajaan Pakatan Harapan juga akan melipatganda penglibatan sektor badan kebajikan dan keusahawanan sosial dalam membantu golongan yang memerlukan. Bantuan dan insentif yang sewajarnya akan disediakan untuk badan-badan yang berkelayakan.