Kos Kehidupan B00. Kos Kehidupan

B04. Menambah program perumahan mampu milk dan mampu sewa

May 10, 2018
Sedang Dijalani
Jul 2018

KPKT kaji kes bumiputera gagal beli rumah

Astro Awani July 15, 2018

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengkaji permohonan pembeli rumah mampu milik golongan Bumiputera yang ditolak oleh institusi kewangan. Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), institusi kewangan termasuk pihak pemaju bagi mencari penyelesaian isu berkenaan. "Saya mahu tahu berapa banyak golongan Bumiputera yang gagal membeli rumah, dan saya akan berjumpa dengan institusi kewangan dan KWSP serta pemaju sendiri. "Saya mahu selesaikan isu ini, biar bumiputera diberi keutamaan," kata Zuraida dalam satu sidang media di Tanjung Sepat pada Ahad. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil kajian Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mencadangkan agar kuota Bumiputera yang tidak terjual dilepaskan ke pasaran terbuka. Tegas Zuraida, KPKT komited dalam memastikan golongan Bumiputera mampu memiliki rumah, pada masa sama mengatasi lambakan rumah mampu milik kuota Bumiputera yang tidak terjual. "Kami ada pertemuan dengan REHDA, dan KPKT sedang merancang Dasar Perumahan Negara 2.0 dan di situ ada elemen di mana kami akan mentakrifkan semula 'rumah mampu milik'," kata Zuraida. Sebelum ini, REHDA mencadangkan supaya harga rumah mampu milik di Semenanjung Malaysia dihadkan dengan unit kediaman di Kuala Lumpur dan Lembah Klang ditawarkan pada harga paling tinggi iaitu RM500,000. Dalam rumusan laporan kajian rumah mampu milik yang dikeluarkan hari ini, ia menegaskan tanda aras rumah mampu milik adalah berbeza di seluruh negara dan bergantung kepada kelayakan median pendapatan peminjam di negeri-negeri. Kajian itu turut mengenal pasti sembilan masalah struktur terhadap sistem rumah mampu milik ketika ini, melibatkan persekitaran atau penggiat yang tidak sekata, dasar perumahan yang tegas, lokasi tidak sesuai dan harga tanah.

May 2018

Menambah program perumahan mampu milik dan mampu sewa

Pakatan Harapan May 10, 2018

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperluaskan skim sewa milik (rent-to-own) di seluruh negara. Kami akan mencari kata sepakat dengan bank-bank komersial agar boleh diwujudkan skim sewa milik dengan pemaju swasta dan juga di pasaran sekunder (secondary market). Di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, mereka yang sekarang sedang menyewa akan diberi peluang untuk berhijrah ke skim sewa milik sekiranya mereka layak. Salah satu penyumbang utama kepada kenaikan harga rumah yang terlalu tinggi ialah kesukaran untuk mendapatkan tanah kerana ada beberapa pemaju gergasi, termasuklah syarikat-syarikat GLC, yang memonopoli tanah untuk membina “landbank”, dan seterusnya menunggu harga naik tinggi sebelum mula membina. Akibatnya, harga tanah naik dengan mendadak dan seterusnya meningkatkan harga rumah. Para pemaju kecil juga tidak dapat memasuki pasaran yang dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar ini. Kerajaan Pakatan Harapan akan menetapkan satu had masa untuk projek perumahan disiapkan agar tiada syarikat yang menyimpan tanah perumahan tanpa diusahakan. Insentif juga akan diberikan kepada pemaju kecil dan sederhana Bumiputera dan bukan Bumiputera agar mereka boleh bersaing dengan lebih sihat dengan syarikat pemaju gergasi. Kerajaan PH juga akan merombak rancangan PR1MA agar tidak wujud lagi eksploitasi oleh syarikat-syarikat pemaju kroni yang mendapatkan tanah kerajaan dengan harga murah, tetapi meraih keuntungan tinggi dengan membina hanya sedikit rumah mampu milik. Untuk mempertingkat pemilikan rumah di kalangan Bumiputera, Kerajaan Pakatan Harapan akan menggalakkan dan mempermudahkan proses pembinaan rumah mampu milik di atas tanah-tanah waqaf, dengan cara memberi insentif kepada Majlis- Majlis Agama Islam Negeri-negeri bekerjasama dengan pemaju swasta. Ini akan menambah bilangan rumah mampu milik yang menyasarkan masyarakat Muslim.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk mempermudah proses penukaran status tanah sekiranya pemaju mencadangkan pembinaan rumah mampu milik. Kuota rumah mampu milik akan dinaikkan supaya lebih banyak unit yang termasuk dalam kategori ini. Insentif cukai akan diberikan kepada syarikat perumahan yang memfokus kepada perumahan mampu milik, terutamanya dengan menggalakkan penggunaan teknologi terkini seperti Industrialised Building System (IBS) agar kos dapat dikurangkan. Bagi memastikan tumpuan yang lebih tinggi boleh diberikan, satu Majlis Perumahan Mampu Milik Kebangsaan akan diwujudkan untuk menyatukan gerak kerja semua agensi yang berkaitan di bawah satu bumbung, dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Majlis ini, antara lain, akan mengambil langkah-langkah berikut: • membina satu juta rumah mampu milik dalam masa dua penggal pentadbiran kami. • menyelenggara satu pengkalan data terbuka rumah mampu milik yang belum terjual, untuk mengelak penyembunyian maklumat oleh pemaju yang tidak bertanggungjawab. • menyelenggara program sewabeli rumah mampu milik untuk golongan M40 dan B40, serta program khas “rumah mampu sewa” untuk mereka yang layak, terutamanya daripada golongan anak muda. • menyelaras perancangan dengan institusi perbankan agar akses kepada pinjaman perumahan untuk pembelian rumah pertama boleh diperluaskan. • mengambil alih penyelenggaraan perumahan kos rendah demi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh penduduk.