Kos Kehidupan B00. Kos Kehidupan

B06. Menghapuskan kutipan tol

Pakatan Harapan May 10, 2018

Please note these historical updates display when articles associated to this promise were added, removed, or changed. The promise status matches the status of its most recent article, as determined by the article date.

Sedang Dijalani
May 2019

K'jaan belum putus kaedah kurangkan kadar tol - Dr M

MalaysiaKini May 27, 2019

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata buat masa ini kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai kaedah mengurangkan kadar tol. Mengulas kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin bahawa kerajaan mampu mengurangkan kadar tol sehingga 25 peratus, beliau berkata terdapat beberapa cadangan daripada pihak swasta untuk mengambil alih konsesi lebuh raya tetapi kadar yang boleh dikurangkan tidak sampai 25 peratus. "Kita sekarang menghadapi masalah, walaupun kita buat janji untuk hapus tol, tetapi apabila tol dihapuskan, tanggungan kerajaan akan meningkat amat tinggi sekali. "Umpamanya kalau hapus tol Lebuhraya Utara Selatan (Plus) kerajaan kena beli lebuh raya itu dengan harga RM30 bilion. Lebih baik belanja bayar hutang, boleh kita kurang sedikit beban kita," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara, di Putrajaya hari ini. Bersetuju dengan pendapat Daim bahawa sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan akan meningkat jika kadar tol dapat dikurangkan, Dr Mahathir berkata: "Rakyat akan berasa lega tak perlu bayar tol tetapi kerajaan akan rasa tak lega kerana tol akan dibayar oleh kerajaan." Mengenai pemohonan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia supaya kerajaan memberikan kuota khas sekurang-kurangnya 20 peratus kepada kontraktor bumiputera untuk terlibat dalam kerja-kerja awam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Dr Mahathir berkata kerajaan akan meneliti perkara itu. "Kita ada tentukan supaya kontraktor tempatan dapat tempat tetapi sama ada mereka bumiputera atau bukan bumiputera belum ditentukan," katanya. Ditanya mengenai insentif Hari Raya Aidilfitri untuk peneroka Felda, Dr Mahathir meminta perkara itu ditanyakan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali "Kita tak bincang tentang Felda (hari ini) tetapi kita telah bincang mengenai Felda banyak kali di dalam forum lain dan kita ada cadangan-cadangan lain untuk perbaiki keadaan di Felda," katanya. Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) baru-baru inj meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif atau duit raya kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara seperti amalan yang dilakukan sejak tahun 2011. - Bernama

Aug 2018

Kerajaan bakal hadapi krisis kewangan jika hapuskan tol serentak, kos keseluruhan RM400b – Baru Bian

Paul Tan August 02, 2018

Kerajaan Persekutuan tidak boleh menghapuskan tol secara serentak, jika berbuat demikian, negara kita bakal menghadapi krisis kewangan, ujar Menteri Kerja Raya, Baru Bian. Katanya, kos keseluruhan pengambilalihan lebuh raya bertol dianggar RM400 bilion, laporan Berita Harian. “Penghapusan tol secara serentak akan memberi kesan kepada kewangan kerajaan kerana kos keseluruhan pengambilalihan lebuh raya bertol mencecah RM400 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, semalam. Menurut Baru lagi, kerajaan akan membuat kajian dan penelitian sebelum membuat keputusan mengenai penghapusan tol ini.

“Kerajaan perlu menjaga kepentingan semua pihak termasuk pemegang konsensi, pelabur dan pemberi pinjaman. Justeru, semua isu berkaitan penghapusan tol dan implikasi serta jumlah tol akan dimuktamadkan selepas kita berbincang dan mendapat nasihat daripada agensi kerajaan berkaitan,” katanya. Menjawab celahan Datuk Ahmad Maslan (BN-UMNO Pontian) supaya kerajaan menyenaraikan tol yang akan dihapuskan, Baru berkata, ia perlu dikaji. “Itu (bilangan tol dimansuhkan) akan dikaji dan keputusannya akan dibuat kelak,” katanya. Mengenai pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) yang inginkan jaminan bahawa kerajaan tidak akan memperkenalkan tol baharu, Baru menjawab, “Kalau itu (tol) adalah yang baharu atau yang belum bina, saya beri jaminan kita tidak akan teruskan (buka tol di lebuhraya baharu),” katanya.

May 2018

Tol KL-Seremban, Salak tamat tengah malam ini

Sinar Harian May 31, 2018

HAH ALAM - Kutipan tol bagi jajaran Kuala Lumpur - Seremban Expressway dan Salak Expressway di Plaza Tol Sungai Besi kendalian Lebuhraya Utara Selatan (Plus) bakal ditamatkan bermula tengah malam ini. Menerusi satu kenyataan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dengan penamatan konsesi jajaran berkenaan, bayaran tol di semua laluan keluar dan masuk Plaza Tol Sungai Besi dikurangkan antara 1 peratus hingga 50 peratus bergantung kepada jarak perjalanan dan kelas kenderaan. Ini bermakna pengguna laluan berkenaan bakal menikmati penjimatan antara RM0.40 hingga RM1.70.

"Penamatan ini sekaligus memberikan manfaat kepada hampir 130,000 kenderaan yang menggunakan plaza tol berkenaan setiap hari. "Pengguna yang melalui Plaza Tol Sungai Besi kini hanya perlu membayar tol mengikut jajaran lebuhraya Plus yang dilalui mereka sahaja," katanya.

May 2018

[ANALISIS] MANSUH TOL: DILEMA BUAT KERAJAAN BARU?

Kapital May 23, 2018

Kebimbangan yang timbul mengenai langkah kerajaan berhubung tol adalah berkaitan sumber pendapatan kewangan negara dan kesannya kepada syarikat-syarikat konsesi. Sekiranya kerajaan memutuskan untuk memansuhkan bayaran tol sepenuhnya, dibimbangi kerajaan persekutuan akan dibebani dalam perbelanjaan fiskal.

Selain itu, kerajaan juga terpaksa membayar harga yang terlalu tinggi untuk mengambil alih aset lebuhraya itu serta turut menanggung obligasi hutang syarikat konsesi tol. Menurut kajian yang dibuat oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) pada tahun 2010, kos keseluruhan untuk mengambil alih semua lebuh raya dalam negara ini kira-kira RM383.3 bilion. Di samping itu, CIMB Research pula menyatakan, Pakatan Harapan lebih awal menjangkakan pengambilalihan semua lebuhraya dengan menggunakan klausa pengambilalihan (expropriation clause) hanya sekitar RM50 bilion tetapi anggaran kos ambil alih terkini tidak diketahui.

Menurut angka-angka yang dikeluarkan Bond Price Agency Malaysia pada 23 April lalu, jumlah keseluruhan bon tertunggak daripada pelbagai syarikat konsesi tol adalah sebanyak RM55.3 bilion. Maknanya kerajaan Pakatan Harapan perlu membayar lebih RM55 bilion hanya untuk mengambil alih hutang syarikat konsesi sebagai pelengkap kepada pengambilaihan operasi tol dalam negara dan ini tidak termasuk dengan kos untuk mengambil alih aset. Dalam laporan berasingan, Maybank Investment Bank Research mendedahkan, jika kerajaan mahu mengambil alih semua hutang tertunggak dan ekuiti pemegang saham, kira-kira RM79 bilion perlu disediakan sebagai pampasan yang paling minimum dengan menjangkakan secara umumnya nisbah antara hutang dengan ekuiti adalah 70:30.

May 2018

Keputusan pemansuhan tol minggu hadapan - Zeti

Berita Harian May 17, 2018

Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata perkara berkenaan masih dalam proses perbincangan dan akan dimuktamadkan segera seperti yang disenaraikan dalam manifesto kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). "Ketika ini, ahli majlis sedang mendengar penerangan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat konsesi lebuh raya dan pemegang saham. "Keputusan dijangka akan diterima dalam masa terdekat kerana mereka perlu membawanya kepada ahli majlis minggu depan.

"Di pihak kerajaan dan ahli majlis, kami komited untuk mencari langkah penyelesaian terbaik demi keselesaan rakyat negara ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di ibu negara, hari ini. Menurut Zeti, pengumuman yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia itu akan diumumkan sendiri oleh ketua Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin. Sementara itu, mesyuarat yang bermula jam 10.30 pagi itu berakhir kira-kira jam 4.30 petang dengan pelbagai isu dibincangkan berkaitan sektor perumahan dan tol. Turut hadir , Ahli Majlis Penasihat Kerajaan lain iaitu bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; ahli ekonomi, Jomo Kwame Sundaram; wakil Tan Sri Robert Kuok , Tan Sri Oh Siew Nam serta Daim. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar. Sementara itu Shahril berkata, syarikat konsesi lebuh raya dan pemegang saham ketika ini masih dalam perbincangan.

May 2018

Menghapuskan kutipan tol

Pakatan Harapan May 10, 2018

Pakatan Harapan berpegang dengan prinsip bahawa monopoli konsesi yang dimiliki oleh syarikat-syarikat tertentu yang rapat dengan kerajaan perlu dihentikan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuhraya. Kami akan berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.