Kos Kehidupan B00. Kos Kehidupan

B08. Memperbaiki kualiti dan liputan pengangkutan awam

May 10, 2018

Please note these historical updates display when articles associated to this promise were added, removed, or changed. The promise status matches the status of its most recent article, as determined by the article date.

Sedang Dijalani
May 2019

K'jaan lancar dana pengangkutan awam RM500 juta

MalaysiaKini May 02, 2019

Kerajaan hari ini melancarkan Dana Pengangkutan Awam berjumlah RM500 juta dan menawarkan kadar subsidi dua peratus kepada pemohon yang layak mendapatkan dana itu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Beliau berkata, Dana Pengangkutan Awam itu, yang diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia, bertujuan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dengan menambah baik lagi prasarana. “Menerusi dana ini, kita berharap untuk meningkatkan bilangan orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam dengan membiayai penambahbaikan sistem,” katanya selepas melancarkan dana tersebut di Kuala Lumpur, hari ini. Lim berkata, pembiayaan itu boleh digunakan untuk membeli kenderaan seperti teksi, bas atau kenderaan pengangkutan awam lain, dan boleh digunakan oleh pengendali, pembekal, pengilang dan pemasang kenderaan pengangkutan awam dan kontraktor, serta pemaju prasarana. Menurutnya, meskipun pelaburan yang besar dalam perkhidmatan kereta api dan bas, peratusan orang yang menggunakan pengangkutan awam masih rendah dan beliau mengakui masih ada ruang untuk menambah baik sistem pengangkutan awam. “Berbanding peratusan orang menggunakan pengangkutan awam bagi Kuala Lumpur dengan pasaran pengangkutan awam paling maju, ia hanya berjumlah kira-kira 20 peratus berbanding Jakarta (36 peratus), Bangkok (30 peratus) dan Singapura (67 peratus),” katanya. Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata subsidi itu yang akan menumpukan kepada cadangan berkaitan perkhidmatan terkini akan diagihkan secepat mungkin. “Kami melihat kepada pelbagai kemungkinan dan penyedia perkhidmatan e-hailing tidak terkecuali dan saya percaya dana itu akan dapat diagihkan segera kerana jumlahnya tidak besar. “Dan apa yang paling penting, era kami menyediakan pinjaman yang besar kepada sesebuah syarikat telah berakhir, kini kami mahu lebih terangkum. Subsidi dua peratus itu akan berdasarkan kepada kadar pembiayaan yang diberikan kepada pemohon bagi kes demi kes bergantung kepada prestasi kredit syarikat,” katanya. Zaiton juga berharap dana itu akan dapat menggalakkan perniagaan di Malaysia, terutamanya pengendali pengangkutan awam, bagi meningkatkan prasarana sedia ada, dengan pembekal, pengeluar dan kontraktor prasarana pengangkutan awam memohonnya. Menurut laporan Bank Dunia 2015, kos pengangkutan adalah 50 peratus lebih tinggi di Kuala Lumpur berbanding Hong Kong dan Tokyo. - Bernama

May 2018

Memperbaiki kualiti dan liputan pengangkutan awam

Pakatan Harapan May 10, 2018

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperluas akses dan liputan perkhidmatan pengangkutan awam dengan cara mewujudkan insentif bagi syarikat bas untuk berkhidmat di kawasan sekitar bandar dan luar bandar. Syarikat-syarikat bas yang mahu mendapat konsesi bagi laluan yang membawa keuntungan akan diwajibkan menyediakan perkhidmatan di laluan yang kurang padat. Tindakan tegas akan diambil sekiranya syarikat- syarikat ini gagal mematuhi peraturan, agar kelemahan yang wujud selama ini dapat diperbaiki. Kerajaan Pakatan Harapan memandang positif perkembangan teknologi baru dan pertumbuhan sektor ekonomi perkongsian seperti e-hailing yang semakin banyak digunakan. Ada juga negara yang kini sedang mencuba teknologi ini untuk perkhidmatan bas dan motorsikal.

Kami akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat dan pemilik-pemilik bas dan bas sekolah sedia ada, dan akan menggalakkan usahawan tempatan yang memiliki kenderaan yang sesuai untuk menceburi dan bersaing dalam sektor ini, agar ia tumbuh dengan pesat di kawasan-kawasan yang memerlukan lebih banyak pengangkutan awam, termasuk kawasan luar bandar serta di Sabah dan Sarawak. Kami juga akan mengurangkan kos bayaran lesen bas sekolah. Ini memerlukan sistem perundangan dan kawal selia yang mesra inovasi, agar lebih ramai individu boleh melibatkan diri dalam sektor e-hailing, lantas menyumbang ke arah peningkatan akses pengangkutan awam dan pada waktu yang sama mempelbagai peluang pekerjaan di luar bandar. Untuk itu, Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkukuh hak para pemandu e-hailing, dan pada waktu yang sama memastikan hak dan kebajikan para pemandu teksi juga turut terjaga. Kami akan memastikan syarikat-syarikat pengangkutan bersaing secara sihat untuk mendapatkan konsesi, agar tidak wujud monopoli, lantas menyumbang kepada penurunan kos.

Di bandar-bandar besar seluruh negara, kami akan memperkenalkan secara berperingkat skim pas pengangkutan bulanan dengan kos RM100 sebulan sahaja yang akan membolehkan penggunaan pelbagai jenis pengangkutan awam dengan satu pas. Untuk memastikan kualiti perkhidmatan bas awam boleh diperbaiki, kami akan memastikan berlaku pertambahan 10,000 unit bas awam di seluruh negara dalam penggal pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.