Kos Kehidupan B00. Kos Kehidupan

Menjamin keperluan makanan asas rakyat dan menjaga kebajikan petani

Pakatan Harapan May 10, 2018
Sedang Dijalani
Jun 2018

Perlembagaan pentadbiran Nafas digantung, turut tamatkan monopoli Bernas

http://m.utusan.com.my/berita/nasional/perlembagaan-pentadbiran-nafas-digantung-1.686574 June 05, 2018

PUTRAJAYA 6 Jun - Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) digantung berkuatkuasa 1 Jun lalu setelah didapati berlaku permasalahan serius dalam urus tadbir dan ketirisan melibatkan barisan kepimpinan agensi tersebut. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, pergantungan selama tiga bulan itu membolehkan siasatan dibuat ke atas Nafas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis. Salahuddin berkata, Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) telah mengeluarkan perintah penggantungan ke atas Nafas susulan satu laporan pengurusan audit yang dilakukan pada 26 Mac 2018. "Nafas merupakan agensi pertama di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang dikenakan tindakan serius (penggantungan). "Laporan Pendaftar PP mendapati Nafas menghadapi masalah serius dalam tadbir urusnya terutama dari aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepimpinan Ahli Jemaah Pengarah dan pengurusannya," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini. Bagaimanapun, Salahuddin berkata, penggantungan itu tidak menjejaskan operasi dan 770 kakitangan Nafas sebaliknya hanya kuasa dan pentadbiran pengurusan atasan digantung. "Dalam tempoh pergantungan, Pendaftar PP telah melantik Pentadbir di bawah Seksyen 23 Akta 109 untuk menguruskan hal ehwal Nafas. Pada masa sama semua kelemahan yang dikenalpasti akan ditambahbaik dan sistem kerja yang mantap akan diwujudkan. "Ini kita anggap sebagai sampah sarap dalam kementerian kita, dengan penggantungan ini pihak Pendaftar PP boleh lakukan kerja sepertimana dipertanggungjawabkan selain kembali Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kepada landsan asal dan keuntungan agensi dapat dimanfaatkan," katanya. Dalam perkembangan lain beliau berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menamatkan monopoli Padi dan Beras Nasional (Bernas) untuk menjaga kepentingan pengeluar padi tempatan. "Kita akan menjadikan Indonesia sebagai model untuk menstrukturkan semula Bernas," katanya. - UTUSAN ONLINE

Jun 2018

Majlis Penasihat Pertanian Negara diumumkan tanggungjawab

Utusan Online June 05, 2018

Majlis Penasihat Pertanian Negara akan berperanan untuk memberi saranan dalam mempertingkatkan keselamatan bekalan makanan serta mengurangkan kebergantungan import. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, kerajaan juga berharap majlis berkenaan dapat memberi saranan menggandakan eksport hasil pertanian dan industri asas tani sekali gus meningkatkan pendapatan golongan dalam sektor berkenaan. "Kita berikan kebebasan kepada mereka untuk memberi pandangan mengenai masa hadapan bidang pertanian negara, untuk memudahkan pentadbiran, salah seorang daripada Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian akan juga menganggotai majlis ini," katanya dalam sidang akhbar bagi mengumumkan empat anggota Majlis Penasihat Pertanian Negara di Wisma Tani, di sini hari ini. Tokoh-tokoh yang diumumkan itu termasuk bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Abdul Rahman Mamat selaku pengerusi majlis penasihat berkenaan serta Pengarah Eksekutif Leong Hup International Sdn. Bhd., Tan Sri Francis Lau Tuang Nguang. Turut menganggotai majlis tersebut adalah Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Prof. Datin Paduka Dr. Fatimah Mohd. Arshad serta usahawan perniagaan dalam talian, Mohd. Najib Asaddok. - UTUSAN ONLINE

May 2018

Menjamin keperluan makanan asas rakyat dan menjaga kebajikan petani

Pakatan Harapan May 10, 2018

Kerajaan Pakatan Harapan akan menilai semula Dasar Keselamatan Makanan Negara dan mewujudkan satu dasar yang lebih baik dengan cara memanfaatkan teknologi pertanian moden yang terkini. Para petani akan dibantu untuk membolehkan mereka mengakses teknologi tinggi, terutamanya di sektor penanaman padi, sayuran, bahan mentah, ayam, daging dan perikanan. Matlamat kami ialah memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang boleh menjamin kelangsungan sendiri (self-sufficient) walaupun pada masa krisis. Strategi ini juga akan memastikan para petani dan peladang kita dapat mempertingkat pendapatan isi rumah masing-masing, selain membantu dalam menstabilkan harga barangan keperluan asas kerana kita tidak lagi perlu mengimport terlalu banyak dari luar negara. Dalam dua tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan, kami akan memberi penekanan terhadap makanan ruji utama negara iaitu beras.

Pakatan Harapan mengambil maklum tuntutan Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi Beras Negara dan berjanji akan membantu pesawah padi seluruh negara dengan matlamat untuk menjadikan industri padi lebih produktif dan memastikan kebajikan pesawah sentiasa terjaga. Monopoli yang diberi oleh UMNO dan Barisan Nasional kepada BERNAS akan dihapuskan dan kerajaan akan memastikan penyeliaan dilakukan secara holistik di setiap peringkat rantaian pengeluaran beras. Matlamat kerajaan Pakatan Harapan ialah untuk memastikan tahap bekalan padi negara mencapai kadar maksimum dan stok keperluan negara akan mengutamakan beras tempatan yang mempunyai kualiti yang sesuai. Untuk membela nasib para pesawah, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengawal kemasukan beras import dan mengambil tindakan tegas terhadap penyeludupan beras.

Kami akan mewujudkan mekanisme aduan di Kemeterian Pertanian untuk membolehkan petani yang merasakan dirinya dianiaya oleh mana-mana pihak boleh membuat bantahan secara terus. Pemberian subsidi akan diuruskan oleh agensi kerajaan yang sesuai dan bukan lagi oleh syarikat berkepentingan seperti BERNAS. Mekanisme dan kadar subsidi harga padi akan disemak segera untuk memastikan adil kepada petani. Pemberian bantuan akan dibuat dalam bentuk tunai kepada mereka yang layak untuk membolehkan mereka memilih sendiri baja dan benih yang berkualiti dan sesuai dengan keperluan sawah masing-masing. Kerajaan Pakatan Harapan akan melindungi dan menjaga kebajikan para petani, penternak dan nelayan dengan memperkenalkan satu skim perlindungan Takaful demi menjamin masa depan mereka. Ada di kalangan para petani dan penternak yang ditimpa musibah apabila berlaku cuaca buruk atau serangan penyakit terhadap tanaman dan penternakan mereka. Kerajaan Pakatan Harapan akan menyediakan bantuan untuk menjamin pendapatan petani, penternak dan nelayan apabila musibah sebegini melanda. Perhatian akan diberikan kepada para penoreh getah yang menghadapi penurunan harga mendadak atas sebab-sebab yang di luar kawalan mereka. Stok penimbal getah akan diwujudkan untuk memastikan kestabilan di pasaran. Kerajaan Pakatan Harapan akan membanteras manipulasi orang tengah ke atas petani, penternak dan nelayan.