Reformasi Politik C00. REFORMASI POLITIK

C01. Mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya

May 10, 2018
Belum Bermula
May 2018

Mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya

Pakatan Harapan May 10, 2018

Kerajaan Pakatan Harapan akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu di tempat tertinggi, iaitu sesuai dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dalam negara kita. Kuasa Raja-Raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu akan dikembalikan ke negeri-negeri dan campur tangan kerajaan pusat akan dihentikan.

Untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara harmoni yang mengekalkan kedudukan istimewa bangsa Melayu, Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan semula, secara tetap, Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat, iaitu seperti Majlis yang seumpamanya yang pernah wujud pada zaman Almarhum Tun Abdul Razak. Ini akan membolehkan usaha memupuk hubungan antara kaum dan agama yang harmoni boleh dibincang secara bersama dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi galakan kepada universiti-universiti awam untuk memperbanyak kajian dan perkongsian nasional dan antarabangsa mengenai kesultanan Melayu agar sejarah ketamadunan Melayu dapat dikongsi di persada dunia. Muzium Diraja di Istana Negara lama akan dinaik taraf menjadi Muzium Pendidikan Kebangsaan, dan kerjasama akan dijalin dengan universiti awam untuk mengaktifkan kegiatan kajian, penerbitan dan pendidikan, melalui seminar dan persidangan secara berkala, tentang institusi Raja-Raja Melayu. Kerjasama juga akan dijalin dengan muzium diraja negara-negara lain agar berlaku percambahan fikiran dan perkongsian ilmu tentang peranan penting institusi beraja dalam semak imbang negara demokrasi. UMNO dan Barisan Nasional telah gagal menjaga tanah- tanah rezab Melayu. Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan tanah-tanah rezab Melayu dilindungi dan semua tanah rezab Melayu yang telah ditukar status diganti semula dengan tanah yang nilainya sama atau lebih tinggi. Syarikat-syarikat milik kerajaan yang terpilih akan dipersediakan untuk dibeli oleh pengurusan (management buy out) agar peratus pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera meningkat. Prestasi dan pencapaian agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen setiap tahun agar kerajaan sentiasa bertanggungjawab kepada rakyat keseluruhannya. Kedudukan ekonomi Melayu akan dibentangkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun supaya kerajaan boleh dipertanggungjawabkan secara terbuka.