Reformasi Politik C00. REFORMASI POLITIK

C06. Mengembalikan wibawa institusi parlimen

PAKATAN HARAPAN MS55 May 10, 2018
Sedang Dijalani
Jun 2018

Tommy Thomas dilantik Peguam Negara

Harian Metro June 05, 2018

YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara. Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Seri Paduka telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan. “Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Dalam kenyataan bertarikh 4 Jun yang dihantar Istana Negara hari ini, Wan Ahmad Dahlan berkata, Seri Paduka bertitah bahawa pelantikan tersebut tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. "Setelah mengambil kira pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tentang pelantikan (i) Peguam Negara Malaysia, (ii) hak Bumiputera serta (iii) peranan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga memperkenan penamatan perkhidmatan Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebagai Peguam Negara oleh kerajaan Malaysia,” katanya. Wan Ahmad Dahlan berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan media yang tidak tepat dan bersifat negatif kebelakangan ini, yang dilihat boleh mengancam keamanan dan keharmonian Malaysia. “Seri Paduka Baginda menitahkan bahawa Baginda mempunyai kewajipan untuk menegakkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan memelihara hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi agama Islam,” katanya. Baru-baru ini, Dr Mahathir telah mencadangkan peguam terkemuka Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan Mohamad Apandi, kepada Yang di-Pertuan Agong.

BROKEN SUB-PROMISE C06-09

Jun 2018

Kerajaan cari jalan selesaikan pelantikan Peguam Negara - PM

Berita Harian June 04, 2018

Kerajaan sedang berusaha untuk menyelesaikan isu pelantikan Peguam Negara berikutan penolakan Istana Negara terhadap cadangannya melantik peguam veteran Tommy Thomas. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata usaha sedang dilakukan untuk menyelesaikan masalah itu. "Saya tak boleh ulas panjang kerana usaha masih dijalankan," katanya pada sidang media sempena lawatannya ke Kedah, hari ini.

Ditanya sama ada penolakan Thomas adalah kerana peguam itu menyokong gerakan sekular, Dr Mahathir berkata: "Tak ada kenyataan seperti itu (oleh pihak Istana Negara)." Dr Mahathir juga menolak anggapan Thomas tidak boleh dilantik kerana pernah menjadi peguam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerana sebagai peguam, beliau boleh mengambil kes pembelaan sesiapa pun. "Kita buat sesuatu keputusan ikut undang-undang dan perlembagaan kita, Yang di-Pertuan Agong bertindak nasihat Perdana Menteri, kita pegang kepada prinsip itu," katanya. Ditanya mengenai janji manifesto Pakatan Harapan yang membahagikan antara jawatan Peguam Negara dan Pendakwaraya, Perdana Menteri berkata ada cadangan seperti itu tetapi perkara berkenaan belum diputuskan. Perdana Menteri diminta mengulas isu pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang kini diarah bercuti sebulan. Bagaimanapun Istana Negara dilaporkan menolak cadangan itu.

PROMISE IN-JEOPARDY: moved to sub-promise C06-09

May 2018

Mengembalikan wibawa institusi parlimen

PAKATAN HARAPAN May 10, 2018

Parlimen merupakan institusi penting untuk menyemak imbang kuasa Eksekutif. Untuk itu, institusi parlimen mestilah mempunyai infrastruktur yang sewajarnya dan dibiayai oleh peruntukan yang terjamin. Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, dengan penambahbaikan dalam perkara-perkara tertentu agar akta tersebut sesuai dengan cabaran zaman moden. Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara akan dipastikan dilantik dari kalangan ahli-ahli Dewan yang mempunyai integriti dan kredibiliti. Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara mestilah berhenti daripada politik kepartian sebaik sahaja menerima jawatan tersebut. Untuk memastikan Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara menjalankan tugas dengan adil, sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk untuk menerima dan meneliti aduan ahli-ahli dewan mengenai keputusan-keputusan yang dirasakan tidak adil. Ketua Pembangkang akan diberikan status dan peruntukan yang sama dengan seorang Menteri Persekutuan. Pembiayaan berdasarkan formula yang telus akan diberikan kepada semua ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan mereka menjalankan tugas dan mengurus pusat khidmat masing-masing. Untuk membolehkan parlimen memainkan peranan yang sewajibnya, persidangan Dewan Rakyat akan dijalankan minimum 100 hari setiap tahun. Sistem Jawatankuasa Terpilih akan diinstitusikan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, lengkap dengan peruntukan dan staf sokongan yang sewajarnya untuk membolehkan ia berfungsi dengan berkesan. Jawatankuasa Sementara juga boleh diwujudkan untuk perkara-perkara yang perlu. Satu Jawatankuasa Terpilih Dewan Rakyat akan diwujudkan untuk memantau setiap Kementerian, dengan kuasa untuk memanggil Menteri dan pegawai kanan untuk memberi keterangan. Jawatan-jawatan penting dalam negara seperti pelantikan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia, mestilah disahkan oleh jawatankuasa yang bersesuaian di peringkat Parlimen,. Ini akan mengurangkan kebolehan Perdana Menteri untuk campur tangan dalam pelantikan-pelantikan penting tersebut Badan-badan kawal selia utama negara seperti Jabatan Peguam Negara, SPRM, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti, dan Jabatan Audit Negara berhak dipanggil oleh jawatankuasa parlimen yang berkenaan. Penubuhan kumpulan-kumpulan tidak rasmi dalam Parlimen juga akan digalakkan untuk membolehkan ahli-ahli parlimen bertukar-tukar padangan antara satu sama lain. Ini termasuklah kumpulan seperti kaukus dan kumpulan rentas parti (all party parliamentary groups) yang juga boleh membabitkan wakil dari kalangan masyarakat sivil dan bukan ahli parlimen. Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara akan dikhaskan kepada Ahli Parlimen daripada parti pembangkang Untuk memastikan rakyat dan semua pemegang taruh boleh dilibatkan dalam proses membuat dasar, Kerajaan Pakatan Harapan akan menghidupkan budaya penerbitan Kertas Hijau untuk merancakkan perbincangan di kalangan rakyat, dan seterusnya penerbitan Kertas Putih untuk mengumumkan dasar- dasar besar kerajaan dan salah satu proses yang besar, sebelum akta baru diperkenalkan di Parlimen. Pada setiap minggu, tempoh 30 minit akan diperuntukkan untuk sesi khas Soalan Kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat. Dewan Negara akan diperkasa untuk memastikan ia memainkan peranan sebagai mekanisme semak dan imbang kepada Dewan Rakyat. Bilangan Ahli-Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh negeri-negeri akan dipastikan sentiasa lebih ramai berbanding mereka yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan supaya suara dan hak negeri sentiasa terjaga. Dalam kedua-dua Dewan, masa yang khusus akan diperuntukkan untuk: • Slot agenda parti pembangkang • Soalan Kepada Menteri untuk setiap kementerian yang wajib dihadiri oleh menteri- menteri berkenaan atau timbalannya. • Perdebatan di peringkat jawatankuasa mengenai laporan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), dan laporan tahunan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Petronas. Untuk memastikan ketelusan dan mengelakkan salah guna kuasa, pada setiap tahun, Kerajaan Pakatan Harapan akan menerbitkan senarai penuh keahlian Ahli-Ahli Parlimen dalam lembaga pengarah syarikat milik kerajaan di peringkat persekutuan atau negeri, dan semua syarikat swasta, atau sebagai konsultan, beserta dengan jumlah elaun dan bayaran-bayaran lain yang diterimanya.