Reformasi Politik C00. REFORMASI POLITIK

C13. Memastikan sistem perolehan kerajaan menjana faedah maksimum untuk wang rakyat

May 10, 2018
Sedang Dijalani
Jun 2018

Kabinet tubuh jawatankuasa siasat isu monopoli di tiga kementerian

Utusan Malaysia June 20, 2018

PUTRAJAYA 20 Jun - Kabinet bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat isu monopoli melibatkan tiga kementerian iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jawatankuasa tersebut akan diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. “Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju menubuhkan jawatankuasa itu selepas ketiga-tiga kementerian yang terlibat membangkitkan isu kewujudan monopoli dalam kementerian,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan mengenai dakwaan wujudnya monopoli bekalan ubat-ubatan di negara ini. - UTUSAN ONLINE

Jun 2018

Kementerian Pengangkutan batal kontrak RM800,000 dengan Pemandu

The Malaysian Insight June 12, 2018

KEMENTERIAN Pengangkutan menamatkan kontrak bernilai RM800,000 untuk Pemandu Associates menulis di ruangan mingguan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris arus perdana. Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kontrak yang ditandatangani oleh bekas menteri, Liow Tiong Lai itu adalah untuk Pemandu menyampaikan "program komunikasi menteri" selama tujuh bulan bermula Januari tahun ini. "Kontrak itu bernilai RM808,629.48. "Pegawai kementerian tidak tahu mengenai skop komunikasi menteri namun mereka difahamkan yang salah satunya ialah untuk membantu menteri menulis satu kolum mingguan," kata Loke pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini. Liow yang juga presiden MCA mempunyai ruangan mingguan dalam akhbar milik parti itu, The Star, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14. "Saya sudah mengarahkan kementerian supaya membatalkan peruntukan ini kerana kita tak perlukan mana-mana syarikat untuk menyediakan program komunikasi bagi menteri. "Saya boleh berkomunikasi secara terus kepada media. Saya tak perlukan mana-mana syarikat perhubungan awam membantu saya dalam program komunikasi," kata Loke. Kontrak RM800,000 itu kata Loke adalah satu contoh perbelanjaan tak perlu oleh kerajaan terdahulu. "Saya diberitahu yang tiada pembayaran dibuat, belum ada tuntutan dari syarikat tersebut tetapi kita tak perlukan khidmat mereka. "Saya tak pasti bayaran itu berdasarkan perkhidmatan atau mengikut ruangan, tetapi nilai kontrak ialah RM808,000," katanya sambil menambah Kementreian Pengangkutan tidak perlu menggunakan wang itu meskipun peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada belanjawannya. – 12 Jun, 2018.

May 2018

Memastikan sistem perolehan kerajaan menjana faedah maksimum untuk wang rakyat

Pakatan Harapan May 10, 2018

Jumlah yang dibelanjakan oleh Kerajaan Malaysia untuk perolehan adalah amat besar, iaitu dianggarkan melebihi RM100 bilion setahun melalui pelbagai projek dan kontrak. Dengan jumlah yang sebegitu besar, adalah amat penting untuk dipastikan supaya tidak berlaku pembaziran. Kerajaan hanya memegang amanah wang rakyat, dan menjadi kewajipan kerajaan untuk sentiasa memastikan wang ini dibelanjakan dengan berhemah. Untuk memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan baik, Kerajaan Pakatan Harapan akan mereformasi sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan, demi memastikan ia lebih berdaya saing dan menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat. Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek- projek besar.

Di bawah Kerajaan Pakatan Harapan, Kementerian Kewangan akan diarahkan untuk menyemak semula semua projek infrastruktur gergasi dengan negara asing agar faedahnya dapat dikongsi oleh kaum Pribumi dan rakyat Malaysia secara saksama. Kerajaan Pakatan Harapan akan menyemak semula amalan sistem perolehan dan tender kerajaan, serta proses perkongsian awam-swasta yang ditadbir oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS). Matlamatnya ialah memastikan kriteria bidaan adalah telus dan konsisten.

UKAS yang kini beroperasi secara tidak telus di bawah Jabatan Perdana Menteri akan dipindahkan ke Kementerian Kewangan dan semua prosedur pemberian kontrak akan dirombak untuk mengimbangkan kuasa Menteri dan menghapuskan rasuah. Penggunaan teknologi maklumat dan sistem atas talian akan diperkembangkan agar pengaruh individu dan politik dalam membuat keputusan dapat dihapuskan. Maklumat tentang kontrak yang telah dipersetujui akan dipaparkan dalam laman sesawang agar ia boleh disemak oleh rakyat dan masyarakat sivil. Amalan terbaik yang diwarwarkan oleh rangkaian antarabangsa seperti garispanduan OECD dan Open Contracting Partnership akan dijadikan rujukan utama dalam langkah ini. Industri Kecil dan Sederhana, termasuk IKS Bumiputera, akan diberi bantuan untuk mengakses maklumat mengenai tender-tender kerajaan, agar mereka mempunyai peluang yang saksama untuk membida kontrak yang sesuai dengannya.