Reformasi Politik C00. REFORMASI POLITIK

C17. Menghapuskan undang-undang yang zalim

Pakatan Harapan May 10, 2018
Sedang Dijalani
Jun 2018

Kerajaan mungkin kekalkan Akta MKN 2016 - Mat Sabu

Utusan June 28, 2018

KUALA LUMPUR 28 Jun - Kerajaan mungkin akan mengekalkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 walaupun Pakatan Harapan pernah berjanji untuk menghapuskannya pada kempen Pilihan Raya Umum ke-14 lalu sekiranya berjaya menguasai Putrajaya. Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini mengambarkan akta yang pernah dikatakan memberi kuasa penuh kepada Perdana Menteri itu mempunyai kebaikan kepada pegawai kerajaan dalam menjalankan tugas. "Kita sedang membuat penilaian terhadap akta ini kerana ia amat berguna terutama kepada pegawai untuk berkhidmat kepada negara. "Apa yang kita perlu lakukan ialah mengawalnya agar tidak menjadi alat untuk memberi tekanan kepada pegawai untuk menyokong parti politik," kata Mohamad. Kerajaan sebelum ini mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang sedia ada yang dilihat menindas rakyat di negara ini. Jawatankuasa tersebut adalah seiring dengan Manifesto Pakatan Harapan yang akan menghapuskan undang-undang yang dilihat menindas rakyat. Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, beberapa akta seperti Anti-berita Tidak Benar 2018, Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 akan dihapuskan.-UTUSAN ONLINE

Jun 2018

Universiti awam kini bebas anjur program ilmiah, kata menteri

The Malaysian Insight June 06, 2018

SEMUA Universiti Awam (UA) kini bebas menganjurkan program ilmiah seperti debat, forum dan wacana intelek sepertimana amalan di universiti terkemuka dunia yang lain, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. Beliau berkata arahan tersebut berkuat kuasa serta merta dan semua pentadbir UA diminta menyahut seruan tersebut atas semangat menjadikan universiti sebagai medan percambahan ilmu. "Saya minta naib canselor dan timbalan naib anselor hal ehwal pelajar mematuhi arahan ini dan memastikan tiada lagi sebarang halangan kepada program seumpama itu selepas ini. "Perkara ini perlu diselaraskan oleh semua universiti, di mana pemantauan terhadap pematuhannya akan dibuat kementerian," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 11 (1) di Putrajaya, hari ini. Selaku individu yang pernah melalui pengalaman dihalang daripada menyertai program sedemikian sebelum ini, Maszlee berkata keputusan kementerian itu adalah sebagai membawa inspirasi mahasiswa yang mahu melihat universiti bebas daripada sebarang kekangan terutama dalam hal berkaitan perkongsian intelek. Bagi mewujudkan persekitaran mesra ilmu, kementerian juga mengarahkan UA untuk tidak meletakkan palang di pintu utama bagi menghalang kemasukan kenderaan dan orang awam sepertimana amalan sebelum ini, katanya. Ditanya apakah akan ada tindakan jika universiti mengingkari arahan itu, beliau berkata walaupun ia bukan satu undang-undang tetapi tindakan sedemikian pastinya akan mengundang kritikan warga universiti. Dalam pada itu, Maszlee berkata kementerian memberi kuasa kepada guru besar dan guru-guru untuk menyelesaikan masalah berkaitan beg sekolah berat. "Walaupun kementerian telah menubuhkan jawatankuasa bagi menangani isu itu, pemberian kuasa kepada guru dalam menyelesaikan isu tersebut boleh dianggap sebagai hadiah kepada ibu bapa dan murid," katanya. – Bernama, 6 Jun, 2018.

Jun 2018

Mansuh undang-undang zalim: Kerajaan tubuh jawatankuasa

Astro Awani June 04, 2018

Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang sedia ada yang dilihat menindas rakyat di negara ini. Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jawatankuasa yang telah mendapat kelulusan kabinet itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim. “Jawatankuasa ini adalah seiring dengan Manifesto Pakatan Harapan yang akan menghapuskan undang-undang yang dilihat menindas rakyat.

“Antara undang-undang yang akan dikaji seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) dan beberapa lagi,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada hampir 250 penduduk kariah Parlimen Batu di Masjid Saidina Hamzah sini hari ini. Ujar beliau, antara individu yang bakal menyertai jawatankuasa itu termasuk pakar perundangan, ketua setiausaha kementerian-kementerian terlibat dan badan bukan kerajaan (NGO). Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan jumlah keanggotaan dan tarikh mesyuarat pertama yang bakal berlangsung. Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beberapa akta seperti Anti-berita Tidak Benar 2018, Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 akan dihapuskan. Katanya undang-undang tersebut bersifat zalim dan menindas rakyat. Malah, Pakatan Harapan juga berjanji akan memansuhkan peruntukan zalim yang terdapat dalam Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Kesalahan Keselamatan, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015.

May 2018

Menghapuskan undang-undang yang zalim

Pakatan Harapan May 10, 2018

Kerajaan Pakatan Harapan akan memansuhkan undang-undang berikut: • Akta Hasutan 1948 • Akta Pencegahan Jenayah 1959 • Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 • Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 • Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 • Hukuman gantung mandatori dalam semua akta

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan memansuhkan peruntukan-peruntukan yang zalim dalam akta-akta berikut: • Kanun Keseksaan 1997 terutama dalam isu perhimpunan aman dan kegiatan memudaratkan demokrasi • Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 • Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA) • Akta Perhimpunan Aman 2012 • Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA)

Untuk memastikan semak imbang yang efektif boleh berlaku, Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menghapuskan semua peruntukan dalam semua undang-undang yang menghalang pihak mahkamah menyemak keputusan-keputusan kerajaan atau undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan. Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan media mempunyai kebebasan untuk menjalankan proses semak imbang terhadap pentadbiran kami. Kami akan menyemak semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan media agar kebebasan media akan dijamin, serta mengambil langkah segera untuk meningkatkan kebebasan dan profesionalisme entiti- entiti seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan BERNAMA. Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menubuhkan sebuah Majlis Media (Media Council) yang dianggotai oleh tokoh-tokoh media sendiri, yang akan dipertanggungjawabkan menyelaras garispanduan etika pelaporan dan bertindak sebagai badan hisbah dalam menangani aduan orang ramai tentang media.