Komuniti YOUTH

Mewujudkan skim khas untuk membolehkan anak muda mengakses pinjaman perumahan untuk rumah pertama dengan lebih mudah.

May 10, 2018
Sedang Dijalani
Jun 2018

Syarat pinjaman perumahan untuk belia dikaji

Kosmo! June 11, 2018

Syarat ketat pinjaman perumahan oleh bank untuk pembeli rumah kali pertama terutama dalam kalangan belia wajar dikaji semula, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. Beliau berkata, ketiadaan pendapatan kedua, ketidakcukupan pendapatan pasangan dan pembayaran semula Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi merupakan antara faktor yang menjejaskan kelulusan pinjaman. "Saya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia bagi mengkaji bagaimana mereka (bank) boleh kurangkan sedikit (syarat) untuk pembeli rumah kali pertama terutama dalam kalangan belia. "Selain itu, kami juga mahu menimbang kedudukan kewangan belia memandangkan ada antara mereka mungkin tidak mempunyai wang dalam akaun bank, namun mereka mendapat sokongan kewagan ibu bapa," kata Zuraida kepada pemberita selepas melancarkan Youth City Tower D di Vision City yang dimajukan oleh GD Development Sdn. Bhd. di sini hari ini. Projek The Youth City merupakan sebahagian daripada pembangunan bercampur GD Development' Vision City bernilai RM1.3 bilion yang mengandungi empat menara dengan 3,123 unit pangsapuri perkhidmatan. Zuraida berkata, beliau juga merancang mengubai suai skim Smart Saver Selangor, dengan pasangan muda menyewa rumah milik kerajaan negeri selama dua hingga lima tahun, untuk memperkenalkannya di peringkat kebangsaan. "Selepas tempoh itu (sewa) kerajaan negeri akan memulangkan 30 peratus daripada jumlah sewaan yang dibayar, dan dengan wang itu, pasangan bekenaan boleh menggunakannya sebagai deposit untuk rumah baharu dalam skim perumahan Rumah Selangorku. "Kami mahu mengguna dan mengubai suainya (dasar) dan melihat sejauh mana kami dapat membantu golongan belia membeli rumah pertama mereka," katanya. Zuraida juga berkata, kementerian itu akan memperkenalkan konsep Bandar Mesra Wanita untuk manfaat semua wanita di Malaysia dalam tempoh terdekat. "Walaupun konsep itu memberi tumpuan kepada wanita, penting untuk menyatakan inisiatif ini berperanan sebagai pemangkin dalam meningkatkan keselamatan, dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia," katanya. - Bernama

May 2018

Pinjaman perumahan akan permudahkan - Zuraida

Astro Awani May 26, 2018

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berhubung dakwaan kesukaran pinjaman perumahan daripada Bank Negara Malaysia (BNM). Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata isu pinjaman rumah adalah di bawah seliaan Kementerian Kewangan, namun KPKT telah memajukan permasalahan tersebut yang didapati berpunca daripada kerenah birokrasi. “Isu pinjaman perumahan membabitkan Kementerian Kewangan, kita (KPKT) ada bawa isu ini sebab masalah pinjaman berpunca daripada birokrasi undang-undang bank, jadi kita cuba menyoroti masalah berkenaan.