Kos Kehidupan B04. PERUMAHAN MAMPU MILIK

B04-09: Majlis Perumahan Mampu Milik Kebangsaan akan diwujudkan

May 10, 2018
Sedang Dijalani
Jun 2018

Majlis Perumahan Mampu Milik beroperasi Ogos

Sinar Harian June 12, 2018

Semua agensi perumahan mampu milik akan diletakkan di bawah Majlis Perumahan Mampu Milik selepas cadangan penubuhannya diluluskan bagi menyelaras pembangunan perumahan terutamanya Projek Perumahan Rakyat (PPR). Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kertas Kabinet berhubung cadangan penubuhan majlis itu sedang disediakan untuk dikemukakan kepada kerajaan awal bulan depan. Antara agensi perumahan mampu milik adalah Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M), Rumah Transit 1Malaysia dan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP). “Kita harap awal Ogos nanti, majlis ini sudah ditubuhkan dan boleh melaksanakan kerja-kerja penyelarasan,” kata Zuraida dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini. Beliau berkata semua exco perumahan negeri-negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dilibatkan dalam pembentukan Majlis Perumahan Mampu Milik itu. “Majlis ini mempunyai kuasa dalam memastikan taburan pembangunan perumahan terkawal, tidak tertumpu di suatu kawasan, malah hal berkaitan harga, reka bentuk dan pengurusan yang menjadi isu sebelum ini dapat diatasi,” katanya. Zuraida berkata penubuhan majlis itu mampu menyelesaikan kekeliruan rakyat berkaitan pembangunan perumahan kerana sebelum ini masyarakat kerap mengadu kepada kementerian tentang masalah yang dihadapi walaupun projek berkenaan bukan di bawah bidang kuasa kementerian. “Apabila rakyat datang mengadu dan kementerian, atas sebab bukan di dalam bidang kuasa, gagal menangani masalah itu, sekali gus memberi persepsi tidak baik terhadap kerajaan,” katanya. Dalam pada itu, Zuraidah berkata kementerian akan memperkasa Tribunal Pengurusan Strata (TPS) dengan melantik tujuh lagi Presiden TPS baharu bagi menambah kekuatan sedia ada yang berjumlah 23 orang. Beliau juga menyarankan agar keupayaan tugasan jurubahasa di tribunal yang kini dikendalikan dua jurubahasa dipertingkat dengan mewujudkan satu panel jurubahasa melibatkan pihak awam. “Kita amat memerlukan jurubahasa yang mahir berbahasa Tamil dan Cina bagi mengendalikan kes, dan dengan adanya panel tersebut, jurubahasa ini akan dipanggil apabila tribunal memerlukan khidmat mereka, katanya. - Bernama

Jun 2018

Penyelarasan projek perumahan mampu milik di bawah KPKT

Astro Awani June 04, 2018

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyelaraskan projek perumahan mampu milik dan diletakkan di bawah KPKT bagi memudahkan pengurusan. Antara projek perumahan mampu milik yang akan diselaraskan di bawah KPKT adalah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP). Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, KPKT bakal mengemukakan Kertas Kabinet berhubung perkara tersebut untuk dipertimbangkan dalam tempoh dua minggu yang akan datang. “Dalam perancangan, KPKT juga akan membuat Kertas Kabinet agar diberikan kelulusan untuk menyelaraskan semua projek-projek perumahan di bawah satu bumbung, termasuk PR1MA, SPNB, PP1M. “Ada 10 ke 11 agensi perumahan yang ada dalam senarai dan KPKT akan membuat kertas draf untuk diselenggarakan dengan secepat mungkin,” kata Zuraidah yang juga Ahli Parlimen Ampang dalam sidang media, hari ini. Beliau turut memaklumkan bahawa nama projek PR1MA akan dijenamakan semula kepada Perumahan Rakyat Harapan Malaysia. Hal ini adalah kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak gembira dengan nama ‘1Malaysia’ “Tun M tidak gembira dengan nama ‘1Malaysia’. Hal ini kerana ‘1Malaysia’ disifatkan sebagai satu jenama sedangkan ia merupakan tanggungjawab negara untuk membantu rakyat. “Oleh itu, Tun M tidak ingin menggunakan ‘1Malaysia’. Inilah antara sebab Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga akan dinamakan semula kepada Bantuan Sara Malaysia,” jelas beliau.