Kos Kehidupan B05. ANAK MUDA

B05-10: Mengurangkan 50% harga internet jalur lebar, tetapi meningkatkan kelajuannya sebanyak dua kali ganda

May 10, 2018
Dipenuhi
Oct 2018

4 Telco Dah Turunkan Harga Internet Jalur Lebar

The Skop October 08, 2018

Sehingga kini, empat telco sudah menurunkan harga Internet dalam pakej jalur lebar talian tetap dengan harga serendah RM89. Telekom Malaysia (TM), Maxis, TIME dotcom (TIME) dan Celcom telah mengumumkan pakej-pakej jalur lebar talian tetap yang baru ekoran saranan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk menawarkan jalur lebar talian tetap pada harga yang lebih berpatutan kepada rakyat, lanjutan daripada pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP). Kesemua syarikat telekomunikasi kini menawarkan pakej permulaan di bawah RM100, berserta pakej-pakej yang menawarkan kelajuan yang lebih tinggi pada harga yang lebih rendah. Pada bulan Jun lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia telah mengumumkan bahawa menerusi pelaksanaan MSAP untuk jalur lebar talian tetap, kerajaan menjangkakan harga jalur lebar akan dikurangkan sekurang-kurangnya sebanyak 25% menjelang 31 Disember 2018 sementara kadar kelajuan yang lebih tinggi akan turut disediakan. Secara keseluruhannya, pelaksanaan MSAP itu telah menyaksikan pengurangan harga lebih daripada 30% untuk pakej-pakej permulaan tersebut. Kelajuan yang lebih tinggi – Selain daripada pakej-pakej permulaan, syarikat-syarikat telekomunikasi turut mengumumkan peningkatan kelajuan pada harga yang sama. Dalam kes tertentu, seperti TM, kelajuan telah meningkat 10 kali ganda. Begitu juga dengan syarikat-syarikat telekomunikasi lain yang turut memperkenalkan pakej-pakej berkelajuan tinggi dengan TIME memperkenalkan pakej permulaan Gigabit pada harga RM199. Ini adalah kali pertama pakej jalur lebar Gigabit diperkenalkan kepada sebahagian besar segmen penduduk di Malaysia. Pelaksanaan MSAP dan penurunan harga ekoran pelaksanaan tersebut adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menyediakan jalur lebar yang berkualiti tinggi dan bertaraf dunia pada harga yang berpatutan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk terus meningkatkan kualiti jalur lebar di Malaysia.

Jul 2018

TM lancar unifi mampu milik bawah RM100

Berita Harian July 03, 2018

Telekom Malaysia Bhd (TM) akan melancarkan pakej unifi mampu milik disasarkan khusus untuk segmen B40 dengan kelajuan 30Mbps kurang dari RM100 bermula 15 Julai ini. Pemangku Ketua Pegawai CEO TM, Datuk Bazlan Osman, berkata tawaran itu 40 peratus lebih rendah daripada harga pakej 30Mbps ketika ini iaitu RM199. "Pengenalan pelan jalur lebar baharu ini dalam usaha berterusan syarikat menawarkan perkhidmatan jalur lebar mampu milik, sebagai menyokong aspirasi kerajaan untuk mengurangkan harga perkhidmatan jalur lebar pada akhir tahun ini. "Pelan baharu ini juga bagi memperkukuhkan kedudukan kumpulan sebagai peneraju pasaran dan merealisasikan aspirasi jalur lebar dari segi harga, kepantasan dan liputan," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Pada majlis itu, TM juga mengumumkan pelan unifi turbo yang menawarkan kelajuan jalur lebar dua kali ganda berbanding ketika ini. Katanya, TM akan menaik taraf kelajuan pelanggan unifi sedia ada secara berperingkat kepada lebih dua kali ganda tanpa tambahan kos bermula 15 Ogos ini. "Sementara pelanggan baharu yang melanggan pelan unifi sedia ada sebelum 31 Disember akan dinaik taraf mulai 2019," katanya. TM turut melancarkan semula pelan pasca bayar tanpa had unifi Mobile khusus untuk pelanggan jalur lebar sedia ada mulai 15 Julai ini. Bulan lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengunumkan harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia dijangka turun sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang hujung tahun ini. Penurunan harga itu berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) pada 8 Jun lalu berkuat kuasa 1 Januari 2018, yang mengenakan harga siling borong bagi pembekal kemudahan dan perkhidmatan digunakan syarikat telekomunikasi di pasaran. Penurunan harga borong itu kelak akan turut mengurangkan harga pasaran jalur lebar bagi pengguna.

Jun 2018

Harga Perkhidmatan Jalur Lebar Dijangka Turun 25% Hujung Tahun Ini

HarianNews June 20, 2018

PUTRAJAYA: Kerajaan menjangkakan harga perkhidmatan jalur lebar bakal turun sehingga 25 peratus menjelang hujung tahun ini. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata penurunan ini berikutan implementasi Mandatory Standard of Access Pricing (MSAP) sejak 8 Jun 2018 yang membabitkan perbincangan penetapan harga borong. “Polisi MSAP mengenakan harga siling borong bagi pihak pembekal kemudahan dan perkhidmatan yang digunakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi dalam pasaran. “Penurunan harga borong bakal mengurangkan harga pasaran untuk pengguna SKMM telah mengkaji polisi MSAP selama setahun pada 2017. “Semakan harga sepatutnya diperkenalkan pada 1hb Januari 2018 tetapi tidak dilaksanakan disebabkan rayuan daripada Telekom Malaysia (TM) untuk SKMM mengkaji semula beberapa butir komponen harga “Selepas pelantikan saya sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru, saya telahpun mengumumkan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan mengambil langkah-langkah untuk menurunkan harga jalur lebar serta menambah kelajuan perkhidmatan tersebut,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini. Jelasnya lagi, kerajaan kini sedang mempertimbangkan isu akses internet sebagai satu hak asasi asas di Malaysia. “Saya juga telah meminta SKMM untuk memantau harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia supaya harga pakej peringkat permulaan adalah munasabah untuk semua rakyat. “Ini bertujuan memastikan rakyat dari semua lapisan masyarakat dan pendapatan mempunyai akses kepada Internet dan mendapat faedah serta berpeluang menceburi era digital ini,” jelasnya.

May 2018

Turunkan harga internet: Gobind akan bincang dengan syarikat telekomunikasi

Astro Awani May 30, 2018

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengadakan pertemuan dengan syarikat telekomunikasi dalam tempoh dua minggu akan datang bagi membincangkan pengurangan harga internet. Menterinya, Gobind Singh Deo berkata pihaknya sedang meneliti untuk meningkatkan kadar kelajuan internet dan pada masa sama mengurangkan kos. Namun jelasnya beberapa aspek perlu dipertimbangkan. "Kami melihat dua aspek, yang pertama untuk menggandakan kelajuan internet, jadi kita melihat sama ada kita boleh melakukannya secepat mungkin. "Satu lagi adalah mengurangkan kosnya, ia mungkin mempunyai kesan, tetapi kami mempunyai rancangan tertentu dan kami akan berunding bagaimana harga dapat dikurangkan, " katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini. "Kami akan usahakan dan saya sudah mengadakan mesyuarat dengan jabatan-jabatan kementerian, dan saya yakin ia dapat dilaksanakan," katanya lagi. Sebelum ini, Gobind berkata taraf perkhidmatan jalur lebar di Malaysia sangat berbeza dengan negara lain. Jelasnya, Malaysia perlu mencontohi sistem-sistem lain dan ini akan menjadi sebahagian daripada pelan 100 hari Gobind sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.