Kos Kehidupan B02. KESTABILAN HARGA

B02-01: Menstabilkan harga barangan keperluan asas dan mengawal faktor-faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga

Pakatan Harapan May 10, 2018
Sedang Dijalani
Jun 2018

Mekanisme kekal harga barang keperluan akan diperkenal

Kosmo! June 15, 2018

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mewujudkan satu mekanisma untuk mengekalkan harga barang keperluan dan menguruskan keseimbangan antara penawaran dengan permintaan dengan sistematik. Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, mekanisma tersebut akan memastikan bekalan adalah mencukupi dan harga barangan adalah mampu milik dalam kalangan rakyat dan mewujudkan persaingan dalam barang keperluan. “Ia dapat memastikan harga barang keperluan kekal munasabah dan mampu dimiliki dalam kalangan rakyat selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berkuat kuasa pada September depan,” katanya kepada media pada majlis rumah terbuka Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Jemaah Menteri di Seri Perdana hari ini. Selain itu, Salahuddin berkata, harga barang keperluan menjelang Hari Raya telah menurun berbanding tahun lepas. “Contohnya, harga ayam turun kepada RM5 hingga RM6 (satu kg) berbanding dengan lebih kurang RM7 tahun lepas manakala sayur-sayuran yang ada juga harganya turun sebanyak 50 peratus berbanding dengan harga tahun lepas.

Jun 2018

Perlembagaan pentadbiran Nafas digantung, Turut tamatkan monopoli Bernas

Utusan Online June 06, 2018

Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) digantung berkuatkuasa 1 Jun lalu setelah didapati berlaku permasalahan serius dalam urus tadbir dan ketirisan melibatkan barisan kepimpinan agensi tersebut. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, pergantungan selama tiga bulan itu membolehkan siasatan dibuat ke atas Nafas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis. Salahuddin berkata, Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) telah mengeluarkan perintah penggantungan ke atas Nafas susulan satu laporan pengurusan audit yang dilakukan pada 26 Mac 2018. "Nafas merupakan agensi pertama di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang dikenakan tindakan serius (penggantungan). "Laporan Pendaftar PP mendapati Nafas menghadapi masalah serius dalam tadbir urusnya terutama dari aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepimpinan Ahli Jemaah Pengarah dan pengurusannya," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini. Bagaimanapun, Salahuddin berkata, penggantungan itu tidak menjejaskan operasi dan 770 kakitangan Nafas sebaliknya hanya kuasa dan pentadbiran pengurusan atasan digantung. "Dalam tempoh pergantungan, Pendaftar PP telah melantik Pentadbir di bawah Seksyen 23 Akta 109 untuk menguruskan hal ehwal Nafas. Pada masa sama semua kelemahan yang dikenalpasti akan ditambahbaik dan sistem kerja yang mantap akan diwujudkan. "Ini kita anggap sebagai sampah sarap dalam kementerian kita, dengan penggantungan ini pihak Pendaftar PP boleh lakukan kerja sepertimana dipertanggungjawabkan selain kembali Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kepada landsan asal dan keuntungan agensi dapat dimanfaatkan," katanya. Dalam perkembangan lain beliau berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menamatkan monopoli Padi dan Beras Nasional (Bernas) untuk menjaga kepentingan pengeluar padi tempatan. "Kita akan menjadikan Indonesia sebagai model untuk menstrukturkan semula Bernas," katanya. - UTUSAN ONLINE