Reformasi Politik C17. Menghapuskan undang-undang yang zalim

C17-06: Memansuhkan Hukuman gantung mandatori dalam semua akta

Pakatan Harapan May 10, 2018

Please note these historical updates display when articles associated to this promise were added, removed, or changed. The promise status matches the status of its most recent article, as determined by the article date.

Sedang Dijalani
Mar 2019

Hukuman mati mandatori bagi 11 jenis kesalahan bakal dimansuhkan

Malaysiakini March 13, 2019

PARLIMEN l Hukuman mati mandatori bagi 11 kesalahan jenayah akan dimansuh dan digantikan dengan hukuman mati berdasarkan budi bicara mahkamah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin memberitahu Dewan Rakyat hari ini. Ini melibatkan sembilan jenis kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua lagi di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, katanya. “Kita telah buat keputusan, kerajaan hanya menghapuskan hukuman mati mandatori sahaja, maknanya kita akan buat pindaan. “ Itu adalah seperti janji ke 27 dalam manifesto Pakatan Harapan,” katanya menjawab soalan Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) semasa sesi soal jawab. Menjawab soalan tambahan Abdullah sama ada kerajaan berhasrat menubuhkan jawatankuasa terpilih Parlimen untuk membincangkan secara teliti mengenai pemansuhan hukuman mati sebelum ianya dibentangkan sebagai Rang Undang-undang, Mohamed Hanipa berkata beliau akan membawa cadangan itu kepada kerajaan. Pada Oktober 2018, kabinet memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi 33 jenis kesalahan yang merangkumi lapan akta. - Bernama

Jun 2018

Nilai keperluan pinda hukuman mati mandatori dalam akta jenayah - Wan Azizah

BERNAMA June 29, 2018

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan sedang melihat keperluan meminda hukuman mati mandatori yang terkandung dalam mana-mana akta berkaitan jenayah yang dilaksanakan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Beliau berkata ketika ini kerajaan hanya menangguhkan hukuman gantung terhadap pesalah berkaitan dadah. Beliau berkata mesyuarat Kabinet yang lalu telah mengambil ketetapan meneruskan keputusan kerajaan sebelum ini menangguhkan hukuman gantung terhadap 17 banduan berkaitan kes dadah yang berada dalam senarai untuk menjalani hukuman gantung. "Dalam konteks lebih luas, kami turut menyentuh mengenai keperluan untuk melihat semula sama ada perkara sama juga boleh diambil terhadap pesalah dalam jenayah lain," katanya pada sidang media selepas melancarkan EduWAQF, iaitu wakaf pendidikan hasil inisiatif AWQAF Holdings Berhad di Pusat Konvensyen Bangi, dekat sini, hari ini. Menurutnya, langkah itu perlu sekiranya bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar, yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati kerana membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, mahu pulang ke negara ini dan menjadi saksi kes tersebut. Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata Sirul Azhar yang kini mendapat perlindungan di Australia, tidak mungkin dapat dibawa balik ke Malaysia kerana negara tersebut tidak membenarkan individu yang dijatuhi hukuman gantung balik disebabkan mereka tidak melaksanakan undang-undang tersebut di sana. "Sebab itu kita berbincang sama ada perlu untuk kita ubah hukuman tersebut atau diganti dengan hukuman lain," katanya. Laporan sebelum ini menyebut, pihak berkuasa Australia telah membenarkan permohonan Malaysia agar Sirul Azhar diekstradisi dengan syarat Malaysia bersetuju menanggung kos, namun bekas anggota Unit Tindakan Khas polis itu dilaporkan enggan pulang kerana bimbang akan tetap dikenakan hukuman mati kerana undang-undang itu masih diamalkan di negara ini. Sirul Azhar, yang didapati bersalah membunuh Altantuya dengan bahan letupan di kawasan hutan di Mukim Bukit Raja, Klang pada Oktober 2006, telah bertindak melarikan diri ke Australia pada 2015. Dia kemudiannya ditahan oleh Imigresen Australia di pusat tahanan di Sidney selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya. -- BERNAMA