Reformasi Politik C17. Menghapuskan undang-undang yang zalim

C17-09: Memansuhkan peruntukan-peruntukan yang zalim dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA)

Pakatan Harapan May 10, 2018

Please note these historical updates display when articles associated to this promise were added, removed, or changed. The promise status matches the status of its most recent article, as determined by the article date.

Sedang Dijalani
May 2019

Kaji semula undang-undang zalim antara agenda KDN: Muhyiddin

Sinar Harian May 06, 2019

PUTRAJAYA - Meminda atau memansuhkan undang-undang keselamatan yang dianggap zalim seperti SOSMA, POCA dan POTA adalah antara pencapaian penting Kementerian Dalam Negeri (KDN), sepanjang setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerajui negara. Undang-undang ini yang diwujudkan kerajaan terdahulu, disifatkan PH sebagai ‘menindas’ dan ‘sewenang-wenang’ menafikan hak pesalah mendapatkan perbicaraan yang adil sepertimana terkandung dalam manifesto pilihan raya PH atau Buku Harapan. Menurut menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Perhimpunan Aman 2012 kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan dan dibawa ke Jemaah Menteri untuk kelulusan. "Saya menjangkakan kedua-dua RUU ini akan dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang. "Manakala POCA, POTA ini masih di peringkat diperhalusi, itu satu dua perkara yang saya boleh sebutkan," katanya pada wawancara bersama media di Kompleks KDN pada Khamis tentang pencapaian kementeriannya sempena ulang tahun pertama pentadbiran PH. Terdapat enam akta, yang sama ada perlu dipinda atau dimansuhkan iaitu Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, Akta Perhimpunan Aman, dan SOSMA. Dalam pada itu, isu lambakan PATI juga sedang ditangani dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama KDN dan Kementerian Sumber Manusia untuk mengkaji pemintaan sebenar pekerja asing di negara ini dan mewujudkan sistem pengurusan pekerja asing yang lebih holistik dalam usaha membanteras PATI. "Masalah itu masih dalam proses (untuk) kita tangani dan kita akan cari jalan tindakan lain dengan meminta kerjasama kerajaan negeri, dan pihak lain di akar umbi seperti penghulu kampung. "Ini kerana mereka mengetahui perkara berlaku (di kawasan), jadi kita dapat kurangkan masalah PATI,” katanya sambil menunjukkan perangkaan dari Jan hingga Mac lepas, dengan 11,234 PATI telah ditahan di atas pelbagai kesalahan. Selain itu, dalam usaha memastikan keselamatan dan ketenteraman, program berimpak tinggi seperti bandar selamat melibatkan penggunaan teknologi tinggi dan penambahbaikan infrastruktur seperti kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) mampu mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan rasa selamat rakyat, katanya. Dalam perkembangan berkaitan, KDN juga komited dalam pelaksanaan memperbaiki imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai sebuah pasukan yang dihormati, disegani, bertanggungjawab memelihara keamanan dan keselamatan sebagaimana termaktub dalam janji ke-20 manifesto PH. Muhyiddin turut berkata masalah yang dilakukan kerajaan terdahulu berjaya diselesaikan PH terutama yang melibatkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Jelasnya, rakyat mungkin menganggap kerajaan mengambil masa lama untuk memulihkan Malaysia Baharu, namun dalam tempoh setahun PH yang ditunjangi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyelesaikan banyak isu yang menjadi kepincangan negara. Ini termasuk isu kerugian yang ditanggung FELDA, Tabung Haji dan beberapa agensi lain telah, sedang dan akan diselesaikan kerajaan. Lantaran itu, beberapa masalah yang dihadapi rakyat seperti yang dijanji untuk diselesaikan dalam manifesto terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu agar isu yang lebih besar tidak semakin melarat. Menurut beliau, tiada perbezaan ketara bekerja di bawah kepimpinan Dr Mahathir sekarang berbanding sebelum ini melainkan pentadbiran PH kali ini berhempas pulas untuk menghapuskan stigma kleptokrasi yang diwujudkan kerajaan terdahulu. Dalam pada itu beliau turut mengakui kelemahan kementeriannya dalam menyampaikan respon kepada rakyat terutama mengenai kejayaan KDN namun kini hal itu sedang diperbaiki bagi memastikan setiap maklumat dapat disalurkan dengan segera khususnya melalui media sosial. - Bernama

Dec 2018

ISA tidak dikembalikan, SOSMA, POCA, POTA dikekalkan dengan pindaan

Berita Harian December 30, 2018

PUTRAJAYA: Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak perlu dikembalikan, manakala akta lain yang menggantikannya tidak akan dimansuhkan. Perkara itu diakui Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang juga Menteri Dalam Negeri. Beliau berkata, ISA sudah dimansuhkan sejak 2012 dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berhajat membawanya kembali. "Ini kerana kita sudah ada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di samping Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) bagi menjaga keselamatannya negara," katanya pada ucapan penggulungannya sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU kali kedua di PICC di sini, hari ini. Muhyiddin mengulangi pendirian kerajaan mahu mengekalkan undang-undang berkenaan berdasarkan cadangan jawatankuasa mengkaji mengenai undang-undang itu. Katanya, dipersetujui pengekalan undang-undang berkenaan dengan beberapa pindaan yang akan dibuat. "Undang-undang itu dipertahankan kerana kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan... kumpulan pengganas dan gengster besar berbuat apa saja yang memberi kesan kepada rakyat dan negara," katanya.

Jul 2018

SOSMA akan dimansuhkan - Dr Mahathir

Harian Metro July 23, 2018

KERAJAAN akan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi memberi keadilan kepada rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Perdana Menteri berkata, rakyat akan dilindungi dengan undang-undang yang adil supaya setiap kesalahan yang dibuat, ditentukan pihak mahkamah.

Beliau berkata, ada undang-undang di negara ini yang menekan dan bersifat zalim kepada rakyat diperkenalkan ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. “SOSMA membolehkan kerajaan tangkap sesiapa sahaja tanpa dibawa ke mahkamah. “Pakatan Harapan akan ikut undang-undang. Ada undang-undang negara ini kita kuatkuasakan supaya rakyat tak ditindas dengan kerajaan yang tak peduli dengan undang-undang negara. “Tak macam Najib. Jika tahanan mati, tidak akan ada inkuiri,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Kempen Tabung Harapan Malaysia, di Shah Alam, hari ini. Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali; Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. Terdahulu, majlis berkenaan yang dianjurkan Gabungan Persatuan Cina menyerahkan replika cek berjumlah RM3,479,100 kepada Tabung Harapan. Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, ketika pentadbiran negara diambil alih PH, kerajaan baharu mendapati kerosakan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) jauh lebih besar daripada yang dijangkakan. Katanya, kerosakan terhadap negara jauh lebih teruk daripada apa yang disyaki kerana bukan hanya wang yang hilang, malah jentera negara juga sudah disabotaj. “Jadi kami terpaksa mengambil tindakan dengan memecat beberapa pegawai yang terbabit mempertahankan kerajaan terdahulu. “Mereka beri kerosakan besar pada negara. Jadi untuk memulihkan semula, kerajaan sekarang memerlukan masa. “Sekarang, dia pula kata jangan ambil tindakan terhadap usaha kerana BN,” katanya. Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan yakin mampu mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh kerajaan terdahulu dengan adanya sokongan dari rakyat. “Malam ini jelas yang hadir untuk derma kepada Tabung Harapan. Walaupun kita dapat hanya beberapa juta, tetapi yang penting kesanggupan rakyat demi negara,” katanya.