Reformasi Politik C11. PERKHIDMATAN AWAM

C11-06: Elaun keraian Jusa A ke atas dipotong 10%

Berita Harian June 6, 2018
Sedang Dijalani
Jun 2018

Elaun keraian Jusa A ke atas dipotong 10 peratus

Bernama June 06, 2018

Elaun keraian bagi pegawai tinggi kerajaan gred Jusa A dan ke atas akan dipotong sebanyak 10 peratus berkuat kuasa Julai ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. "Ia sebagai langkah penjimatan kerajaan," katanya ketika mengumumkan perkara itu dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra, di sini hari ini. Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata Malaysia akan menghantar satu pasukan ke India untuk mengkaji idea-idea inovatif yang diusahakan kerajaan negara itu dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam. Bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan, beliau berkata ujian kompetensi Bahasa Inggeris akan dijalankan terhadap mereka. "Bahasa Inggeris amatlah penting dan perlu dikuasai pegawai tinggi kerajaan kerana kerap ada rundingan yang perlu dibuat dengan pihak asing," katanya. Selain itu, Dr Mahathir berkata badan dan institusi di bawah pelbagai kementerian akan diselaraskan semula untuk mengelakkan pertindihan dan mengoptimumkan penggunaan sumber kerajaan.

"Kita hendak mengurangkan kos kerajaan, jadi terdapat beberapa badan tidak relevan kita akan bubar. Kebanyakan datang dari Kementerian kesihatan," katanya. Menurutnya kabinet turut membincangkan isu pertindihan kuasa antara kementerian-kementerian yang akan diselesaikan selepas kerajaan membuat perbandingan terhadap kementerian berkaitan. Berhubung Bantuan Sara Hidup (BSH) yang menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Dr Mahathir berkata kelayakan bagi mendapatkan bantuan itu akan dikaji semula pada masa akan datang. Bagaimanapun, katanya BSH yang dijadualkan pada hari ini akan tetap dibayar mengikut kelayakan sedia ada. Dr Mahathir turut mengumumkan skim kawalan harga musim perayaan Aidilfitri 2018 akan dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terhadap 22 jenis barangan kawalan bermula 8 sehingga 22 Jun. Perdana menteri dalam pada itu memaklumkan beliau akan melakukan lawatan kerja ke Tokyo, Jepun pada 10 hingga 12 Jun ini bagi menghadiri persidangan antarabangsa Future of Asia ke-24 dengan ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Katanya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara pula akan mengetuai delegasi Malaysia ke beberapa mesyuarat antarabangsa berkaitan bencana antaranya mesyuarat Jawatankuasa ASEAN bagi Pengurusan Bencana di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Jun ini. Selain itu, katanya Kementerian Kesihatan akan menganjurkan Sidang Kemuncak Denggi Asia kali ke-3 di Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Julai dan Sambutan Hari Denggi ASEAN di Selangor pada 7 Julai ini.