Kos Kehidupan B04. Perumahan Mampu Milik

B04-02(B): Merampingkan semua projek perumahan untuk memastikan mereka mematuhi konsep bina dan jual.

Berita Harian Kenyataan Akhbar June 17, 2018
Sedang Dijalani
Jun 2018

Dasar bina dan jual bagi semua projek - KPKT

Berita Harian June 17, 2018

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyelaras supaya semua projek kediaman dilaksana mengikut dasar bina dan jual. Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata tindakan itu bagi memastikan polemik pelbagai projek perumahan terbengkalai sehingga menjangkau beberapa tahun berupaya ditangani secara menyeluruh. "Kita akan selaraskan supaya mengikut dasar bina dan jual, bukan membuka tempahan kepada pembeli sedangkan projek belum mencapai 10 peratus.

"Ada banyak kes di seluruh negara yang menyaksikan projek perumahan tidak selesai walaupun berlarutan antara lapan hingga 10 tahun, sedangkan pembeli masih perlu menjelaskan bayaran pinjaman bank. "Ramai yang marah kerana dasar jualan rumah seperti ini mengarut, justeru kita akan selaraskan," katanya pada temubual eksklusif dengan NSTP, baru-baru ini. Zuraida berkata, aspek lain yang akan disemak semula adalah proses pinjaman daripada bank supaya ia dilonggarkan untuk memudahkan rakyat memiliki kediaman pertama di negara ini. Perkara itu, katanya, akan diselesaikan menerusi perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam tempoh terdekat. "Segelintir rakyat mempunyai kerja sampingan, namun tidak termasuk dalam kriteria penentuan meluluskan pinjaman perumahan berdasarkan syarat diperuntukkan industri perbankan. "Oleh itu, kita nak masukkan supaya ia mendapat pertimbangan sewajarnya supaya jika faktor kerja sampingan ini diambil kira dengan syarat kesahihannya berupaya dibuktikan menerusi dokumen atau sebagainya. "Kedua, pendapatan pasangan dan adik beradik juga perlu diambil kira," katanya. Pertimbangan lain, katanya, turut mencakupi keperluan menentukan kelulusan pinjaman perumahan bersandarkan unjuran gaji bagi tempoh tertentu dalam kalangan belia. Beliau berkata, tindakan itu wajar kerana gaji akan berubah mengikut tahun perkhidmatan, sekali gus melayakkan mereka memohon kadar pinjaman lebih tinggi untuk membeli kediaman.