Reformasi Politik C06. WIBAWA INSTITUSI PARLIMEN

C06-09: Jawatan-jawatan penting dalam negara seperti pelantikan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia, mestilah disahkan oleh jawatankuasa yang bersesuaian di peringkat Parlimen

PAKATAN HARAPAN MS56 May 10, 2018
Tidak Dipenuhi
Jun 2018

Tommy Thomas dilantik Peguam Negara

Harian Metro June 05, 2018

YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara. Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Seri Paduka telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan. “Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya. Dalam kenyataan bertarikh 4 Jun yang dihantar Istana Negara hari ini, Wan Ahmad Dahlan berkata, Seri Paduka bertitah bahawa pelantikan tersebut tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. "Setelah mengambil kira pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tentang pelantikan (i) Peguam Negara Malaysia, (ii) hak Bumiputera serta (iii) peranan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga memperkenan penamatan perkhidmatan Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebagai Peguam Negara oleh kerajaan Malaysia,” katanya. Wan Ahmad Dahlan berkata, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan media yang tidak tepat dan bersifat negatif kebelakangan ini, yang dilihat boleh mengancam keamanan dan keharmonian Malaysia. “Seri Paduka Baginda menitahkan bahawa Baginda mempunyai kewajipan untuk menegakkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan memelihara hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi agama Islam,” katanya. Baru-baru ini, Dr Mahathir telah mencadangkan peguam terkemuka Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan Mohamad Apandi, kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jun 2018

Kerajaan cari jalan selesaikan pelantikan Peguam Negara - PM

Berita Harian June 04, 2018

Kerajaan sedang berusaha untuk menyelesaikan isu pelantikan Peguam Negara berikutan penolakan Istana Negara terhadap cadangannya melantik peguam veteran Tommy Thomas. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata usaha sedang dilakukan untuk menyelesaikan masalah itu. "Saya tak boleh ulas panjang kerana usaha masih dijalankan," katanya pada sidang media sempena lawatannya ke Kedah, hari ini. Ditanya sama ada penolakan Thomas adalah kerana peguam itu menyokong gerakan sekular, Dr Mahathir berkata: "Tak ada kenyataan seperti itu (oleh pihak Istana Negara)." Dr Mahathir juga menolak anggapan Thomas tidak boleh dilantik kerana pernah menjadi peguam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerana sebagai peguam, beliau boleh mengambil kes pembelaan sesiapa pun. "Kita buat sesuatu keputusan ikut undang-undang dan perlembagaan kita, Yang di-Pertuan Agong bertindak nasihat Perdana Menteri, kita pegang kepada prinsip itu," katanya. Ditanya mengenai janji manifesto Pakatan Harapan yang membahagikan antara jawatan Peguam Negara dan Pendakwaraya, Perdana Menteri berkata ada cadangan seperti itu tetapi perkara berkenaan belum diputuskan. Perdana Menteri diminta mengulas isu pelantikan Thomas sebagai Peguam Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang kini diarah bercuti sebulan. Bagaimanapun Istana Negara dilaporkan menolak cadangan itu.