Reformasi Politik C10. TENTERA & POLIS

C10-01 & E04-01: Peruntukan kepada PDRM akan dipertingkat untuk menaik taraf kemudahan kepada anggota polis terutamanya bagi anggota berpangkat rendah, dan keperluan kepada lebih ramai anggota

PAKATAN HARAPAN MS65 May 10, 2018
Dipenuhi
Nov 2018

PDRM sambut baik pembentangan bajet 2019

Utusan Online November 03, 2018

KUALA LUMPUR 3 Nov.- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik dan menghargai segala peruntukan bagi PDRM yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan bajet 2019, semalam. Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, melalui pembentangan tersebut, PDRM mendapat manfaat melalui 24 projek kerjasama awam swasta (PPP) berasaskan tender terbuka seperti sekolah, kem tentera, balai polis dan bomba serta rumah mampu milik yang keseluruhannya bernilai RM5.3 bilion. Ujar beliau, manfaat lain yang turut diperoleh PDRM iaitu pemberian bantuan RM500 secara one-off kepada pesara berkelayakan selain kemudahan cuti tanpa rekod selama tujuh hari bagi penjawat awam yang bukan beragama Islam untuk tujuan keagamaan. Jelas beliau, selain itu, pelepasan cukai sehingga RM7,000 untuk penjawat awam yang memilih skim pencen bagi menggalakkan pemilikan perlindungan insurans. “Peruntukan sebanyak RM5.9 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri bagi mempertingkatkan keselamatan negara. “Selain itu, peruntukan sebanyak RM1.5 bilion untuk membina dan menyiapkan rumah mampu milik bagi Program Perumahan Rakyat, Perumahan Penjawat Awam Malaysia dan perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad demi memastikan bekalan rumah mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi memberitahu, PDRM juga akan menerima pelanjutan tempoh pembiayaan perumahan sektor awan di bawah Lembaya Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) iaitu pembayaran pertama dilanjutkan daripada 30 kepada 35 tahun dan tempoh pembiayaan kedua daripada 25 kepada 30 tahun. Tambah beliau, peruntukan RM400 juta untuk penyelenggaraan dan membaik pulih kuarters kerajaan dalam memastikan kesejahteraan penjawat awam terutama warga polis, tentera dan guru. “Sehubungan itu, PDRM mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pengumuman peruntukan pembangunan sebanyak RM7.1 bilion bagi sektor keselamatan serta bayaran khas RM500 kepada semua penjawat awam gred 54 dan ke bawah serta RM250 kepada pesara kerajaan sebelum hujung tahun ini. “PDRM akan mengoptimumkan penggunaan segala peruntukan yang diberikan agar kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat tidak terjejas selaras saranan kerajaan perbelanjaan berhemah,” katanya. - UTUSAN ONLINE