Reformasi Politik C12. GLC

C12-03: Memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan professional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka

PAKATAN HARAPAN MS69 May 10, 2018
Tidak Dipenuhi
Jul 2018

Dr M pengerusi baru Khazanah, Azmin pengarah

MalaysiaKini July 30, 2018

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan pengerusi Khazanah Nasional Berhad selepas peletakan jawatan beramai-ramai ahli lembaga pengarahnya baru-baru ini. Pejabat Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin dilantik sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah. Tan Sri Mohd Hassan Marican, yang juga ahli majlis penasihat kerajaan, juga disenaraikan dalam lembaga pengarah syarikat berkenaan. Dua lagi ahli lembaga pengarah yang lain ialah Sukhdave Singh dan Goh Ching Yin. Sukhdave merupakan bekas timbalan gabenor Bank Negara manakala Goh adalah pengarah di Maybank Asset Management Group Berhad dan pernah berkhidmat sebagai pengarah eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi pembangunan pasaran. Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai pengerusi Khazanah pada 31 Mei selepas BN tewas pada pilihan raya umum ke-14. Sukhdave meletak jawatan dari Bank Negara pada November tahun lepas, sebulan sebelum umur persaraannya. Bank Negara, dua bulan kemudian pada Januari 2018, mengumumkan pemerolehan tanah seluas 22.5 hektar daripada kerajaan dengan nilai RM2 bilion. Kerajaan BN kemudian menggunakan dana itu untuk menyelesaikan hutang 1MDB daripada International Petroleum Investment Company (IPIC). Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim kemudian meletak jawatan selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan. Dalam kenyataannya, Pejabat Perdana Menteri berkata pengarah urusan Khazanah akan diumumkan kemudian. Mahathir, sejak memimpin Pakatan Harapan dalam pentadbiran kerajaan persekutuan, telah menolak beberapa permintaan untuk pelantikan daripada pengarah urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar, yang membawa kepada peletakan jawatan lembaga pengarah urusan syarikat GLC itu secara beramai-ramai. Mahathir menerima peletakan jawatan berkenaan dengan mengatakan 'tidak semua terlibat dalam salahlaku' tetapi kerajaan tidak boleh membiarkan ia berterusan. The Straits Times sebelum ini melaporkan Mahathir kecewa apabila Khazanah kerugian RM3 billion dalam pelaburannya di bank Switzerland, UBS.